Utama Berita Automotif Menteri : Bekalan petroleum negara stabil dan mencukupi

Menteri : Bekalan petroleum negara stabil dan mencukupi

15

Bekalan petroleum negara kekal stabil dan mencukupi, manakala kerajaan telah bersiap sedia dengan pelan kontigensi bagi memastikan kelangsungan bekalan dalam apa jua keadaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, pelan itu termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat menyebabkan gangguan berpanjangan.

“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis tenaga dunia ini. Namun, penting untuk ditegaskan bahawa negara berada dalam keadaan terkawal, bersedia serta mengambil langkah proaktif bagi mengurus kesan krisis ini.

“Pada masa sama, kita perlu terus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya situasi ini berlarutan,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global, pada Khamis.

Taklimat itu diadakan susulan arahan Jemaah Menteri untuk menubuhkan sebuah Pusat Arahan Komunikasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi menyelaras tindakan serta langkah kerajaan dalam menangani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat.

Memahami kebimbangan rakyat, Fadillah berkata kerajaan bersama Petronas serta pemain industri memantau rantaian bekalan setiap hari bagi memastikan kestabilan pasaran terus terpelihara.

“Kerajaan juga mengadakan sesi libat urus secara konsisten dengan pemegang taruh daripada pelbagai sektor bagi membolehkan maklum balas diperoleh secara masa nyata, sekali gus mempercepat penyelarasan tindakan untuk memastikan kestabilan bekalan dan pasaran terus terjamin,” katanya.

Beliau berkata, gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz, yang menjadi nadi aliran minyak global telah meningkatkan ketidaktentuan pasaran serta memberi tekanan kepada harga minyak untuk kekal pada paras tinggi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here