Utama Berita Automotif Mapsu gesa kerajaan kembalikan kuota subsidi 300 liter bagi pekerja kesihatan

Mapsu gesa kerajaan kembalikan kuota subsidi 300 liter bagi pekerja kesihatan

11
KUALA LUMPUR, 1 April-- Petugas kesihatan bersiap siaga untuk menerima mangsa kebakaran akibat kebocoran paip di stesen minyak Petronas di Puchong hari ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kerajaan digesa segera mengembalikan kuota subsidi kepada 300 liter bagi pekerja kesihatan memandangkan sektor itu tidak boleh bekerja dari rumah.

Presiden Majlis Gabungan dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja, Kementerian Kesihatan Malaysia (Mapsu), Ajulahin Japin berkata majoriti pekerja kesihatan perlu berulang-alik dalam jarak yang jauh setiap hari, khususnya di Semenanjung Malaysia dan kawasan luar bandar Sabah serta Sarawak.

Menurutnya, penggunaan bahan api bulanan mereka lazimnya mencecah atau melebihi 300 liter.

“Ini bukan soal pilihan gaya hidup, tetapi tuntutan tugas yang tidak boleh dielakkan.

“Sehubungan itu, pengurangan kuota kepada 200 liter adalah satu langkah yang perlu mengambil kira realiti operasi sektor kesihatan, dan secara langsung tidak menambah tekanan kos sara hidup kepada golongan yang telah pun berdepan beban kerja yang tinggi.

“Kami berpandangan bahawa kerajaan perlu melihat semula kuota subsidi bahan api supaya petugas kesihatan tidak terus dibebankan dan dasar ini lebih bersifat sensitif kepada keperluan sebenar mereka,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuatkuasa 1 April dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia.

Beliau berkata, penyelarasan berkenaan tidak menjejaskan sebahagian besar pengguna memandangkan data menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.

Mapsu turut menggesa kerajaan agar melaksanakan pendekatan bersasar yang lebih adil, khusus kepada sektor yang tidak boleh melaksanakan bekerja dari rumah (BDR).

Tambahnya, sumbangan dan keperluan mobiliti tinggi petugas kesihatan dalam penggubalan dasar berkaitan subsidi juga perlu diiktiraf kerajaan.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here