
BYD Malaysia rasmi melancarkan pembukaan pusat 3S BYD Mansion Macalister di George Town, Pulau Pinang dengan keluasan bangunan 9,000 kaki persegi.
Sehingga kini, BYD Malaysia memiliki 40 bilik pameran dan lebih 30 pusat perkhidmatan lepas jualan di seluruh negara bagi menawarkan pengalaman pemilikan yang lancar dan meyakinkan di setiap kawasan utama.

Naib Presiden BYD Co. Ltd dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pacific, Liu Xueliang berkata, komitmen BYD di Malaysia mencerminkan wawasan global jenama untuk menjadikan pengangkutan lestari mudah dicapai oleh semua.
“Kami terus menyalurkan inovasi teknologi dan keupayaan penyelidikan kami ke dalam pasaran ini kerana kami yakin terhadap masa depan elektrik Malaysia.
“BYD Mansion Macalister mencerminkan komitmen ini, yang menggabungkan inovasi bertaraf dunia dengan penghormatan kepada warisan tempatan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan berkata pihaknya membina rangkaian tempatan yang memastikan setiap pemilik BYD menikmati sokongan yang memuaskan dan meyakinkan sepanjang hayat kenderaan mereka.
“Disokong lebih 30 pusat selepas jualan, pasukan juruteknik bertauliah dan penasihat servis dari Malaysia, di samping bilik pameran bersepadu seperti BYD Mansion Macalister yang menawarkan khidmat rundingan, penjagaan dan pengecasan di bawah satu bumbung, kami mengutamakan pelanggan dalam teras ekosistem ini,” katanya.
Selain infrastruktur fizikal, BYD Malaysia dan Sime Motors terus membuat pelaburan besar dalam modal insan menerusi program latihan untuk juruteknik, penasihat jualan, dan profesional lepas jualan untuk memastikan rakyat Malaysia memanfaatkan kepakaran EV bertauliah global di dalam negara.
Majlis pelancaran tersebut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan turut meraikan pemilik ke-5,000 BYD di kawasan utara.































