
Jenama kenderaan elektrik premium, Zeekr kekal mencipta momentum kukuh di pasaran tempatan apabila muncul jenama EV premium nombor satu di Malaysia bagi tahun 2026.
Data pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan bagi April 2026 menunjukkan Zeekr merekodkan 357 pendaftaran EV, menjadikan jumlah keseluruhan tahun ini meningkat kepada 1,214 unit.
Pencapaian itu meletakkan Zeekr di hadapan beberapa pesaing utama dalam segmen premium, termasuk Tesla.

Selain menguasai segmen EV premium, Zeekr berada di tangga keempat jenama EV paling laris secara keseluruhan di Malaysia.
Model utiliti sukan elektrik premium, Zeekr 7X menjadi penyumbang terbesar kejayaan syarikat apabila mencatatkan 303 unit jualan sepanjang April.
Secara keseluruhan, sebanyak 999 unit penghantaran model itu direkodkan sejak Januari 2026.
Jumlah tersebut mengatasi pesaing terdekatnya, Tesla Model Y yang merekodkan 371 unit bagi tempoh sama.
Kejayaan Zeekr dipacu model MPV elektrik mewahnya, Zeekr 009 yang mencatatkan 51 unit jualan pada April dengan jumlah keseluruhan 204 unit bagi tahun ini.
Model itu juga muncul sebagai MPV EV premium paling laris di Malaysia.
Sejak memasuki pasaran tempatan kurang dua tahun lalu, Zeekr merekodkan jualan terkumpul sebanyak 3,849 unit melibatkan 2,509 unit Zeekr 7X, 1,166 unit Zeekr 009 serta 174 unit Zeekr X.
Zeekr kini memiliki 10 bilik pameran dan empat pusat servis di seluruh negara.
Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, sambutan positif pengguna Malaysia membuktikan keyakinan pelanggan terhadap jenama itu.

Menurutnya, syarikat akan terus memperluaskan operasi dan menawarkan EV premium berteknologi tinggi yang memenuhi keperluan pengguna tempatan.
Dalam masa sama, Zeekr 7X turut menerima pengiktirafan “SUV of the Year (RM200k-RM500k)” di anugerah MCOTY 2025 selain dinobatkan “Electric SUV of the Year” di Vehicle of the Year 2026.
Zeekr 009 pula menyerlah dalam segmen MPV elektrik premium apabila merangkul anugerah “Overall Malaysia Car of the Year 2025”, “Best xEV of the Year” dan “MPV xEV of the Year” di MCOTY 2025 selain diiktiraf sebagai “Best Premium EV MPV” oleh http://Carlist.my dan WapCar.my.
































