
Motosikal dengan sistem pacuan elektrik terbukti mampu memadamkan kelemahan yang wujud pada motosikal konvensional.
Pecutan yang lebih bertenaga, senyap, dan kurang gegaran.
Namun, bagi Honda sudah tiba masanya untuk motosikal elektrik meniru semula rasa olskool yang wujud pada motosikal petrol.
Menerusi pendaftaran paten terbaharu, Honda membangunkan sistem klac elektronik yang lengkap dengan motor gegaran.
Model yang menjadi ‘tikus makmal’ bagi sistem terbaharu ini ialah motocross elektrik Honda CR Electric Proto (gambar utama).
Berbanding penggunaan klac mekanikal biasa, sistem elektronik ini akan mengubah tindak balas motor elektrik berdasarkan kedudukan tuil klac.
Untuk kegunaan harian, ia dilihat sebagai satu gimik, namun Honda melihat kegunaannya yang lebih praktikal di dalam perlumbaan menerusi teknik hard launch yang digunakan oleh kebanyakan pelumba motocross.
Honda percaya sistem ini akan lebih membantu dalam situasi perlumbaan yang memerlukan kawalan kuasa yang lebih tepat, terutama ketika memecut atau meredah permukaan yang tidak rata.
Selain itu, terdapat beberapa unit motor gegaran yang dipasang pada bahagian hendal berhampiran tuil klac.
Tujuannya untuk memberikan maklum balas haptik seperti rasa gegaran enjin dan sensasi titik gigit klac seperti klac mekanikal yang sebenar.
Selain sebab perlumbaan, sistem terbaharu ini juga dilihat memudahkan pengguna beralih daripada motosikal petrol kepada motosikal elektrik tanpa rasa janggal.
Honda bukanlah jenama pertama yang cuba menghidupkan semula elemen dan rasa motosikal petrol pada motosikal elektrik.
Pengeluar seperti Zero dan Kymco sebelum ini pernah memfailkan paten untuk klac palsu dan transmisi multi-kelajuan simulasi.
Semua ini menunjukkan terdapat golongan yang mahukan rasa tunggangan dan maklum balas fizikal, bukannya sekadar kuasa pecutan segera dan operasi yang senyap.


































