Ducati bangunkan sistem klac auto untuk superbike

39

Selepas teknologi klac automatik (atau e-klac) diperkenalkan oleh BMW, Honda, KTM dan Yamaha, kini tiba giliran Ducati untuk melancarkan ciri yang serupa untuk dipadankan pada barisan superbike jenama itu. 

Berdasarkan pendaftaran paten yang dilihat oleh laman CycleWorld, sistem automasi klac Ducati ini dilihat mampu memudahkan penunggang untuk mengendalikan operasi klac. 

Namun tidak seperti sistem transmisi klac berkembar Honda, sistem Ducati hanyalah dikhususkan untuk operasi klac secara automatik, dan tidak membantu dari segi penukaran gear. 

Terdapat dua versi sistem yang bakal ditonjolkan oleh Ducati

Versi pertama mengekalkan sistem hidraulik tradisional yang membenarkan penunggang untuk mengoperasikan tuil klac tangan secara manual.

Dalam masa yang sama, penunggang juga boleh bergantung kepada sistem untuk operasi klac automatik apabila diperlukan seperti contoh ketika memulakan perjalanan atau hentian berkelajuan rendah. 

Versi kedua pula membuang terus hubungan mekanikal antara tuil klac dan sistem hidraulik, sebaliknya menggunakan isyarat elektronik daripada operasi tuil terus ke unit kawalan. 

Bezanya, dengan sistem kedua ini penunggang masih lagi boleh merasai pengalaman menggunakan tuil klac ‘manual’ yang sebenar. 

Kedua-dua versi automasi klac ini menawarkan manfaat yang sama, iaitu mengelakkan enjin daripada mati secara tiba-tiba, perjalanan mula yang lebih lancar, kurang kesan lusuh pada klac dan mod Launch Control yang dipertingkatkan untuk pecutan maksimum. 

Sistem ini juga boleh digandingkan dengan fungsi penukaran gear pantas (quickshifter) serta fungsi rev-match automatik ketika menukar gear yang lebih rendah. 

Sebelum anda bergembira dengan berita ini, dukacita diberitahu bahawa Ducati mahukan sistem ini untuk kegunaan di dalam litar lumba, seperti contoh WSBK, dan bukannya untuk geng-geng rider yang sekadar berkonvoi hujung minggu ke lemang To’Ki. 

Namun, tidak mustahil satu hari nanti teknologi ini bakal direalisasikan untuk barisan model jalanan sedia ada seperti Panigale dan Streetfighter

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here