Akio Toyoda dakwa EV tiga kali lebih cemar alam berbanding kereta hibrid

146

Sejak bertahun-tahun lamanya orang kuat Toyota, Akio Toyoda menyuarakan pandangan bahawa kenderaan elektrik (EV) bukanlah satu cara untuk terus maju ke hadapan.

Malah, beliau juga berkeras bahawa peralihan kepada EV secara mendadak bakal memberikan kesan besar di dalam industri automotif secara keseluruhan, terutama dari segi kebajikan pekerja.

Terbaharu, Akio Toyoda mengekalkan pendirian bahawa kenderaan elektrik menghasilkan pencemaran alam yang lebih besar berbanding kenderaan hibrid.

Cucu kepada pengasas Toyota itu mendakwa syarikatnya telah menjual sekitar 27 juta unit kenderaan hibrid sejak pelancaran model generasi pertama Prius pada tahun 1997.

Ujarnya, kesemua kenderaan hibrid itu mempunyai jejak karbon menyamai sembilan juta unit kenderaan elektrik apabila ditambah produksi kenderaan dan bateri di dalam persamaan.

Keengganan Toyota untuk serius dalam penghasilan EV membuatkan sebilangan pihak meramalkan pengeluar itu tidak akan terus bertahan di dalam industri ini.

Namun begitu, Toyota dilihat masih lagi kekal sebagai kuasa besar dunia dan dinobatkan sebagai pengeluar terbesar untuk lima tahun berturut-turut pada tahun lepas.

Toyota terus mengukuhkan kedudukan di pasaran dengan melancarkan beberapa buah model hibrid pada tahun ini, dan dalam masa yang sama memperkenalkan beberapa buah model EV termasuklah bZ Woodland, C-HR EV, serta sedan elektrik Lexus ES.

Dalam masa yang sama, Toyota juga dijangka akan melancarkan beberapa model berprestasi tinggi di bawah payung Gazoo Racing seperti GR Supra, Celica, pengganti MR2 dan jentera stail GT3 dibawah jenama Lexus.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here