
Pada April lalu Subaru memperkenalkan kenderaan utiliti sukan elektrik (SUV EV) Trailseeker yang bergaya.
Satu yang menghairankan kerana pada masa yang tiada khabar daripada Toyota sedangkan kedua-duanya berkongi model elektrik iaitu Solterra dan bZ4X.
Rupa-rupanya Toyota mempunyai strategi lain dan kini baru memperkenalkan bZ4X Touring dan ahli baharu kepada siri bZ4X.
Kedua-dua Trailseeker dan bZ4X Touring dibezakan pada rupa depan yang tersendiri.
Model ini akan mengukuhkan lagi barisan EV Toyota dalam segmen SUV B, C dan D, bersama Urban Cruiser serba baharu, Toyota C-HR+, serta bZ4X versi terkini.
Sebagai sebuah SUV tulen, bZ4X Touring membolehkan pelanggan beralih kepada EV tanpa perlu mengorbankan gaya hidup mereka.
bZ4X Touring mempunyai ruang dalaman lebih luas berbanding bZ4X, kebolehan serbaguna, pengecasan pantas, jarak pemanduan yang mencukupi dan motor yang berkuasa.
Tumpuan kepada Ruang
Toyota mereka bentuk bZ4X Touring sebagai kesinambungan kepada rekaan SUV sedia ada.
bZ4X Touring 140 milimeter (mm) lebih panjang dan 20 mm lebih tinggi dengan ukuran 4,830 mm panjang dan 1,670 mm tinggi.
Ukuran tersebut membolehkan kapasiti ruang kargo ditingkatkan lebih sepertiga atau tambahan sebanyak 148 liter dan menjadikan jumlah keseluruhan 600 liter.
Kerusi belakang dengan pisahan 40:60 memudahkan ruang ini diperluaskan mengikut keperluan.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi
bZ4X Touring meneruskan prinsip Toyota dalam menawarkan BEV dengan pelbagai pilihan kepada pelanggan, termasuk versi pacuan roda depan (FWD) dan semua roda (AWD).
Pilihan AWD dilengkapi teknologi kawalan pemanduan pintar XMODE dan Grip Control, memberikan keupayaan AWD sebenar dengan cengkaman tambahan dan prestasi stabil atas permukaan jalan tidak rata atau licin.
Kedua-dua varian menggunakan bateri litium-ion 74.7 kWj (kapasiti kasar), dan bergantung pada varian, dilengkapi pengecas dalaman 11 kW atau 22 kW.
Kapasiti pengecasan pantas (DC) mencecah sekitar 150 kW.
Bateri bZ4X Touring membawakan kemajuan terkini Toyota dalam memperbaiki prestasi dan masa pengecasan.
Ia menggunakan sistem penyejukan air dan fungsi pra-pendinginan bateri yang baru diperkenalkan dalam bZ4X baharu, yang boleh diaktifkan secara manual atau automatik semasa menuju ke stesen pengecasan pantas. Ciri ini sangat berguna dalam cuaca sejuk.
Kuasa maksimum disasarkan bagi model FWD ialah 224 DIN hp (165 kW), manakala versi AWD Touring mencecah 380 DIN hp (280 kW) dan menjadikannya BEV Toyota paling berkuasa di pasaran.
Sistem pacuan menggunakan eAxle generasi baharu Toyota dengan semikonduktor silikon karbida (SiC) yang lebih cekap, berkuasa tinggi, ringan dan padat.
Di samping kuasa tambahan, bZ4X Touring mampu menarik treler sehingga 1,500 kilogram (kg), mengukuhkan lagi statusnya sebagai SUV serbaguna dan berkapasiti tinggi.
Penampilan Lebih Gagah
Jika bZ4X biasa tampil dengan rekaan bergaya dan teknologi tinggi, Touring pula membawa imej lebih lasak dengan badan gaya wagon yang luas serta elemen rekaan baharu seperti pendakap gerbang roda berwarna hitam kasar, rim hitam dan rel bumbung yang kuat.
Rel bumbung ini eksklusif pada versi Touring dengan muatan atas sehingga 70 kg dan mudah untuk membawa peralatan sukan atau barangan panjang.
Perubahan utama tertumpu di bahagian belakang, dengan bampar bawah baharu serta lampu kombinasi LED yang tampil dengan gaya moden berinspirasikan aktiviti luar.
Warna luaran monotone turut menampilkan Brilliant Bronze sebagai warna baharu.
Kabin dan Teknologi
Di bahagian dalam, kabin Touring menampilkan reka bentuk baharu seperti bZ4X terkini dengan konsol tengah baharu yang memudahkan penggunaan peranti digital dan paparan instrumen, bersama skrin multimedia 14 inci standard.
Kemasan dalaman termasuk balutan warna City Moss, sepadan dengan karakter SUV sebenar model ini.
Sistem multimedia juga menyokong navigasi BEV yang membolehkan pemandu merancang laluan dan lokasi pengecasan berdasarkan status bateri dan jarak pemanduan yang masih ada.
Toyota bZ4X Touring dijadualkan untuk dilancarkan di Eropah pada musim bunga 2026 (Mac hingga Jun).
Maklumat lanjut akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh pelancaran pasaran.