
Polis menembak mati dua penjenayah lelaki dipercayai aktif kes samun dan pengedaran dadah, di parkir kereta sebuah kondominium, di Nilai pada jam 10 malam, Khamis.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus berkata penjenayah berumur 40-an dan 20-an itu aktif dalam kes samun rumah, kilang serta tempat pengumpulan kurier di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.
“Penjenayah berumur lingkungan 40 tahun ini ada 76 rekod jenayah narkotik dan keganasan manakala seorang lagi suspek mempunyai ll rekod jenayah yang sama,” katanya.
Beliau menambah suspek melarikan diri menaiki kereta berwarna perak sebelum dipintas pihak polis dan berlakunya insiden tembak-menembak dan kenderaan polis terkena tembakan oleh suspek.
“Bagaimanapun tiada anggota yang cedera dan dipercayai kumpulan ini ada kaitan dengan jenayah kekerasan di kontinjen negeri lain.
“Polis juga menemukan dua pucuk pistol, iaitu pistol separa automatik dan revolver,” jelasnya.
Beliau percaya kumpulan penjenayah ini terlibat dalam kes samun pusat kurier di Klang, Selangor kira-kira dua bulan lepas dan berdasarkan rekod, mereka juga terlibat dalam pergerakan kongsi gelap.
Menurutnya, polis sedang giat memburu saki-baki penjenayah daripada kumpulan yang sama menerusi beberapa lagi siri serbuan di beberapa unit kediaman di sekitar Selangor.
“Serbuan berkenaan melibatkan tangkapan dan rampasan dadah dengan perincian akan diberikan kemudian,” katanya.
Fadil berkata suspek dipercayai berpindah-randah dengan menyewa di kondominium di Nilai sebagai tempat persinggahan.
“Ada banyak lagi tempat lain … suspek dipercayai menyewa kenderaan jenis Toyota dan pendaftaran pun baru digunakan hari ini. Apa yang kita percaya, nombor pendaftaran kereta ditukar setiap dua hari,” katanya.