Huawei Maextro S800 terima 1,600 tempahan dalam 24 jam

28

Sedan elektrik mewah Maextro S800 yang merupakan hasil kerjasama antara Huawei dan JAC mendapat sambutan luar biasa di China.

Dalam masa tujuh hari sahaja selepas pelancaran rasmi, jenama itu berjaya mengumpul sebanyak 3,600 unit tempahan.

Kenderaan sepanjang 5.5 meter itu ditawarkan pada harga mula CNY 708,000 (RM460,000) dan akan bersaing dengan Mercedes-Benz Maybach S-Class dan Yangwang U7.

KERJASAMA STRATEGIK HUAWEI & JAC 

Maextro adalah jenama bersama antara Huawei dan pengeluar JAC yang pernah menghasilkan model untuk Nio. Kedua-dua syarikat ini telah membina sebuah fasiliti pengeluaran khas untuk projek ini.

JAC bertanggungjawab dalam aspek pembuatan dan pembangunan seni bina modular, manakala Huawei bertindak sebagai pembekal komponen utama.

Huawei juga menguruskan penjualan Maextro S800 melalui rangkaian HIMA (Harmony Intelligent Mobility Alliance) mereka.

SAMBUTAN HANGAT MAEXTRO S800

Maextro S800 dilancarkan secara rasmi di pasaran China pada 30 Mei lalu yang mana varian asas S800 berharga CNY 708,000 (RM) manakala varian tertinggi adalah CNY 1,018,000 (RM660,000).

Sebagai perbandingan, Mercedes-Benz Maybach S-Class yang sering disebut sebagai pesaing utama Maextro S800 bermula dari CNY 1,468,000 (RM950,000).

Sehari selepas pelancaran, pegawai Huawei mendedahkan bahawa Maextro S800 telah menerima 1,600 tempahan dalam masa 24 jam.

Ini adalah angka yang agak memberangsangkan dengan harga sedemikian. Menariknya, Pengarah Eksekutif Huawei, Yu Chengdong, menyatakan bahawa 70 peratus daripada tempahan tersebut adalah untuk varian tertinggi S800.

Selepas hari pertama, kadar tempahan Maextro S800 sedikit perlahan, menjadikan jumlah keseluruhan 2,100 unit dalam masa 48 jam.

Pada 6 Jun, HIMA berkongsi di media sosial bahawa Maextro S800 telah mengumpulkan 3,600 tempahan dalam 7 hari.

Ini bermakna sedan utama Huawei mendapat tambahan 1,500 tempahan selepas dua hari pertama. Penghantaran Maextro S800 akan bermula di China pada Ogos ini.

CIRI MAEXTRO S800 

Maextro S800 ini adalah sedan bersaiz besar dengan dimensi panjang 5,480mm, lebar 2,000mm dan tinggi 1,536mm serta jarak roda 3,370mm.

Fascia depan didominasi dengan lampu unik dengan dua elemen mendatar. Kenderaan ini juga menawarkan pilihan kamera sebagai ganti cermin sisi. Satu lagi kelebihan Maextro S800 ialah sistem stereng roda belakang (rear-wheel steering).

Bahagian dalaman Maextro S800 menggunakan paparan head-up terkini dari Huawei dan 43 unit pembesar suara dengan kuasa puncak 2,920 watt.

Sedan mewah ini menawarkan dua pilihan bentangan kabin dengan lima atau empat tempat duduk. Konsol tengah kereta mempunyai skrin utama 15.6 inci, yang dilengkapi pula dengan monitor penumpang hadapan yang lebih besar, bersaiz 16 inci.

Tingkap penumpang belakang Maextro S800 juga boleh dimalapkan hanya dengan satu lambaian tangan. 

Varian serba elektrik (EV) Maextro S800 dilengkapi dengan dwi-motor berkuasa 390 kW (523 hp) dan bateri 95kWh. Ia mampu bergerak sejauh 702km (CLTC).

Terdapat juga varian EREV (Extended Range Electric Vehicle) yang tersedia dengan dua pilihan pacuan: dwi-motor (390 kW) dan tiga-motor (635 kW).

Varian EREV ini juga mempunyai penjana 1.5 liter (115 kW / 154 hp) dan bateri 65 kWh yang memberikan jarak elektrik antara 365 hingga 400km.


Julat Harga Maextro S800:

  • Maextro S800 EV 5-tempat Duduk: CNY 708,000 (RM460,000)
  • Maextro S800 EREV Dwi-Motor 5-tempat Duduk: CNY 708,000 (RM460,000)
  • Maextro S800 EREV Tiga-Motor 5-tempat Duduk: CNY 788,000 (RM510,000)
  • Maextro S800 EV 4-tempat Duduk: CNY 818,000 (RM530,000)
  • Maextro S800 EREV Dwi-Motor 4-tempat Duduk: CNY 818,000 (RM530,000)
  • Maextro S800 EREV Tiga-Motor 4-tempat duduk : CNY 1,018,000 (RM660,000)

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here