
Toyota GR Corolla ini memang seronok dipandu, tapi kalau bab pelaburan, nampaknya tak berapa menjadi.
Carscoops baru-baru ini melaporkan tentang sebuah model 2025 dengan perbatuan di bawah 1,600km dibida pada harga USD35,500 (RM150,182). Angka ni hampir USD6,000 (RM25,382) lebih rendah daripada harga model baru.
Jadi, macam mana pula sebuah lagi GR Corolla varian Core (2023) dengan perbatuan 11,300km boleh terjual USD5,000 melebihi harga cadangan pengilang (MRSP) di laman bidaan yang serupa? Ini memang satu misteri!..
Semuanya ada kaitan dengan apa yang berlaku pada GR Corolla itu selepas ia diserahkan kepada pemilik pertamanya pada tahun 2023.
Walaupun asalnya ia hanyalah model Core yang asas, ia telah melalui transformasi yang menelan belanja ribuan dolar. Pengubahsuaian inilah yang menarik perhatian peminat GR dan membuatkan sebilangan daripada mereka bersaing untuk membida.
Hot hatch itu dilengkapi dengan Pakej Prestasi yang berharga USD1,800 (RM7,615) Pakej ini merangkumi limited slip differential di bahagian depan dan belakang, serta angkup brek berwarna merah dengan jenama GR.
Pengubahsuaian yang dijalankan oleh pemilik merangkumi setiap aspek tetapi mari mulakan dengan bahagian casis dan suspensi.
Kini ia menggunakan rim Volk Racing TE37 bersaiz 18 inci dengan tayar Falken Azenis FK510 bersaiz 265/35. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan coilover boleh laras Cusco, strut brace depan Cusco, dan pad brek Endless.
Di bawah hud telah dinaik taraf kepada unit Circuit Edition, enjin tiga silinder 1.6 liter 12 injap telah menerima modul penalaan Bluetooth EcuTek, ECU LIMIT+1, air intake gentian karbon berkilat Eventuri, intercooler hadapan SXTH Element, blow-off valve Turbosmart Kompact, paip bawah ekzos LIMIT+1 dengan pemangkin aliran tinggi bersepadu, serta sistem ekzos cat-back A’PEXi. Fuh, memang banyak!…
Senarai lelongan di Bring a Trailer tidak menyatakan apakah kesan “barang-barang” tersebut terhadap kuasa dan tork asal, tetapi kami mengandaikan ia kini menjana lebih banyak daripada GR Corolla MY25.
Model 2025 kekal pada 300hp tetapi menerima peningkatan tork sebanyak 30 Nm kepada 400 Nm berbanding model asal seperti unit ini, sebagai sebahagian daripada kemas kini kecil.
Pelancaran model 2025 juga buat pertama kalinya memperkenalkan pilihan transmisi automatik, jadi kereta ini masih lagi menggunakan transmisi manual enam kelajuan.
Di bahagian dalam, terdapat sepasang kerusi BRIDE Low-Max GIAS gentian karbon-Kevlar. Menariknya, keterangan lelongan mendakwa kerusi itu dilengkapi dengan elemen pemanas asal Toyota – agak pelik untuk kerusi selepas pasaran sedemikian.
Penyenaraian tersebut tidak memberikan jumlah kos keseluruhan untuk ubahsuai tetapi pembida yang berjaya yang mengeluarkan USD45,000 (RM190,372) untuk kereta ini, yang mana MSRP adalah USD41,000 (RM173,450) dua tahun lalu, pasti mengira bahawa akan menghadapi kesukaran untuk menghasilkan semula kereta sedemikian dengan harga yang sama jika bermula dengan kereta standard.