
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menganjurkan acara komuniti sulungnya menerusi KLIMS Run 2026 yang berlangsung hujung minggu lalu.
Ia sekali gus menjadi antara pembuka tirai penting menjelang Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) yang bakal berlangsung Jun ini.
Dianjurkan bersempena program KL Car-Free Morning, acara larian komuniti itu bermula jam 7 pagi di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan berjaya menarik lebih 1,000 peserta menerusi kategori larian 5KM dan 7KM.
Sebagai acara larian komuniti pertama diperkenalkan di bawah kalendar pra-acara KLIMS, KLIMS Run 2026 membawa tema Beyond Mobility dengan mengetengahkan pendekatan lebih dekat kepada masyarakat.
Acara ini bukan sahaja menghimpunkan peminat automotif, malah turut melibatkan keluarga, komuniti gaya hidup sihat dan orang awam dalam suasana meriah sambil mempromosikan gaya hidup sihat.

MAA turut memperkukuh elemen tanggungjawab sosial menerusi sumbangan RM5,000 kepada PUSPEN Dengkil, sebuah pusat pemulihan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan yang menyediakan rawatan dan pemulihan kepada individu yang sedang pulih daripada ketagihan dadah.
Sumbangan disalurkan menerusi kerjasama bersama Selangor Youth Community sebagai sebahagian daripada usaha KLIMS 2026 untuk memperluaskan penglibatan belia serta mengukuhkan elemen inklusiviti dan hubungan sosial dalam acara mobiliti terbesar negara itu.
Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, KLIMS dikenali sebagai platform membincangkan masa depan mobiliti, namun penganjuran KLIMS Run 2026 membuka dimensi baharu dengan menghubungkan industri automotif kepada gaya hidup dan kesejahteraan komuniti.
Memasuki edisi ke-11, KLIMS 2026 akan menampilkan pelbagai pelancaran model baharu, teknologi mobiliti terkini serta pameran interaktif daripada jenama automotif dan mobiliti tempatan serta antarabangsa di bawah tema Beyond Mobility.































