Utama Berita Automotif Maextro S800 Grand Design ini boleh dibeli pada lebih murah banding Rolls-Royce...

Maextro S800 Grand Design ini boleh dibeli pada lebih murah banding Rolls-Royce Ghost

6

Syarikat usahasama Huawei dan JAC, Maextro memperkenalkan satu lagi sedan edisi eksklusif S800 Grand Design dengan harga jualan yang jauh lebih rendah berbanding Rolls-Royce. 

Yang paling menonjol di bahagian luar ialah kemasan akses emas yang boleh didapati pada bahagian hud enjin, rim cakera, jalur dekoratif, tulisan Maextro dan emblem di belakang. 

S800 Grand Design turut dilayangkan kombinasi warna baharu dua tona biru-hijau gelap yang dipadankan dengan perak cerah. 

Buat masa ini, Maextro tidak berkongsi gambar dalam, namun anda boleh jangkakan spesifikasinya yang jauh lebih mewah jika dibandingkan dengan S800 standard. 

Pada model standard, ia dilengkapi dengan tetapan tiga skrin, tempat duduk belakang graviti sifar, skrin projektor laser yang boleh disembunyikan serta sistem audio dengan 43 pembesar suara Huawei. 

Dengan jarak antara roda sepanjang 3,370 mm, penumpang boleh menjangkakan tahap keselesaan yang tersendiri di dalam ruang kabin yang hanya menempatkan empat orang pada satu-satu masa. 

Pakej Grand Design menambah sistem LiDAR 896-line di bahagian bumbung, serta kamera baharu pada tiang B yang merupakan sebahagian daripada kelengkapan Huawei Qiankun ADS 5.0 berbanding ADS 4.1 pada model semasa. 

Maextro S800 Grand Design ditawarkan dalam pilihan EV sepenuh masa dengan dua motor elektrik berkuasa 523 hp dan pek bateri 97 kWh. 

Terdapat juga versi penambah jarak (EREV) dengan padanan enjin 1.5 liter turbo, tiga motor elektrik dan bateri 63 kWh. 

Di China, S800 Grand Design ini dijual pada harga anggaran sekitar 2 juta yuan (RM1.2 juta), lebih mahal berbanding S800 standard yang dijual pada harga bermula 708,000 yuan (RM414 ribu). 

Namun begitu, S800 Grand Design ini masih lagi jauh lebih murah jika dibandingkan dengan sebuah Rolls-Royce Ghost dengan tanda harga bermula 5,030,000 yuan (RM2.94 juta). 

Dalam kategori ultra-premium, Maextro S800 terus mendapat sambutan di mana ia menjadi model yang paling laris untuk kategori harga melebihi 700,000 yuan (RM409 ribu) selama lapan bulan berturut-turut. 

Setakat ini, ia telah terjual melebih 17,000 unit. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here