
Tahukah anda, berapa banyak jenama automotif yang lahir dari Tanah Besar China?
Mungkin agak sukar untuk mengiranya dengan bantuan jari tangan dan kaki, anda perlu dapatkan khidmat daripada penganalisa industri Felipe Munoz.
Menerusi hantaran di Instagram, Felipe Munoz menyenaraikan hampir kesemua jenama pengeluar automotif yang dikuasai sepenuh atau separuh oleh firma China.
Dari segi jualan, terdapat empat kumpulan terbesar di dalam China, terdiri daripada BYD, Chery, Changan dan juga Geely.
Biarpun tersenarai sebagai empat kuasa besar China, BYD hanya memiliki beberapa jenama termasuklah Denza, Fang Cheng Bao, dan juga Yang Wang.
Secara kontras, Geely mempunyai banyak jenama termasuklah Belgee, Farizon, Galaxy, Geome, LEVC, Lotus, Lynk & Co, Polestar, Proton, Smart, Volvo, dan juga Zeekr.
Chery pula mempunyai Fulwin, Omoda, Jetour, Exeed, iCar, Luxeed, Jaecoo dan Rely.
Manakala Changan pula menaungi jenama Avatr, Deepal, Nevo, Volga dan Kaicheng.
Keempat-empat kumpulan besar ini membentuk 56 peratus daripada jumlah jualan automotif di China dan kesemuanya menerima subsidi daripada kerajaan tempatan.
Ada beberapa jenama lain yang sudah pun bertapak di Malaysia termasuklah MG dan Maxus yang dikuasai oleh SAIC, diikuti JAC, BAIC, Dongfeng, Xpeng, dan juga Leapmotor.
Dalam hantaran kedua di Instagram, Munoz menyediakan carta piramid yang memaparkan kedudukan kesemua 109 jenama di dalam pasaran.
Jenama ultra-premium membariskan Hongqi, Yang Wang dan Maextro, sementara tangga kedua pula diduduki oleh jenama seperti Xiaomi, Nio, Luxeed, Avatr, Aito, Jidu dan Li Auto.
Jenama Denza duduk di dalam segmen premium, manakala jenama Xpeng pula dikategorikan sebagai semi-premium.
Jenama-jenama lain pula dikategorikan sebagai jenama arus perdana, serta tangga terendah yang membariskan jenama kenderaan kos rendah.