Leapmotor catat jualan terbaik dalam kategori EV Start-up di China

47

Leapmotor mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama EV baharu paling berjaya di China selepas merekodkan jumlah jualan tertinggi dalam kalangan syarikat permulaan (start-up) kenderaan tenaga baharu (NEV) untuk Jun serta keseluruhan separuh pertama 2025.

Dengan 48,006 unit kenderaan dihantar pada Jun sahaja menjadikan peningkatan drastik sebanyak 138 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Leapmotor bukan sahaja mencatat rekod baharu, malah mengekalkan rentak pertumbuhan positif selama enam bulan berturut-turut. Jumlah keseluruhan jualan bagi separuh pertama 2025 kini mencecah 221,664 unit, menandakan lonjakan hampir dua kali ganda sejak Januari.

Leapmotor C10 di Malaysia dilengkapi ciri tambahan

Di Malaysia, Leapmotor memperkenalkan model C10 yang diberi penambahbaikan selaras dengan cita rasa dan keperluan pengguna tempatan. 

Diposisikan dalam segmen SUV bersaiz sederhana, C10 ditawarkan pada harga bermula RM125,000. Ia satu angka yang agresif untuk kenderaan berteknologi tinggi dengan ciri-ciri segmen D pada harga segmen C.

Antara penambahbaikan ketara yang diperkenalkan termasuklah ruang simpanan hadapan berkapasiti 32 liter (frunk) serta penutup but belakang jenis tonneau, menjadikan aspek praktikaliti lebih menyerlah untuk kegunaan harian. 

Di samping itu, pengecas dalam kenderaan (OBC) turut dinaik taraf daripada unit 6.6 kW kepada 11 kW, sekali gus memendekkan masa pengecasan dari 30 ke 80 peratus kepada hanya 4 jam, berbanding 6 jam sebelum ini. 

C10 turut dilengkapi sistem pemantauan tekanan tayar secara langsung (TPMS) dan kit pam angin tayar elektrik, sesuatu yang jarang ditawarkan dalam julat harga ini.

Bahagian kabin tidak kurang hebatnya. Beberapa kombinasi warna dalaman dikemaskini untuk menyuntik nafas baharu. 

Warna-warna seperti Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey kini dipadankan dengan kabin berwarna hitam menggantikan tema Midnight Aurora sebelum ini. 

Sementara itu, warna Glazed Green kini secara eksklusif hadir dengan interior Camel Brown, menggantikan Criollo Brown. 

Material tempat duduk pula kekal menggunakan fabrik silikon premium yang diperakui OEKO-Tex Standard 100, mesra bayi dan selesa untuk seisi keluarga.

Jaminan 6 tahun atau 150,000km

Untuk ketenangan minda, Leapmotor menawarkan jaminan komprehensif selama enam tahun atau 150,000km bagi kenderaan, termasuk empat tahun jaminan pengeluar dan tambahan dua tahun jaminan lanjutan. 

Bateri pula dilindungi dengan jaminan selama lapan tahun atau 160,000km, bergantung kepada yang mana tiba dahulu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here