
Polis menyatakan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam satu kemalangan di sempadan Surrey-Delta, British Columbia, Kanada pada petang Sabtu.
Foto dan video yang tular dalam talian itu menunjukkan motosikal tersebut tergantung pada tiang lampu isyarat dan pemandangan luar biasa tersebut menarik perhatian orang ramai yang berkumpul untuk merakam kejadian sementara pasukan kecemasan cuba menurunkan superbike berkenaan.
Polis Delta berkata pihaknya menerima laporan kemalangan antara motosikal dengan sebuah kereta pada jam 3 petang di blok 7100 Scott Road di 72nd Avenue dan 120th Street.

Menurut polis, penunggang tersebut mengalami kecederaan serius namun tidak mengancam nyawa, manakala pemandu BMW berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Tidak pernah melihat kejadian seperti ini, seperti melihat filem,” kata penduduk Surrey, William Chan, yang melihat dengan kemalangan tersebut ketika dalam perjalanan ke kedai donut Krispy Kreme berhampiran.
Chan berkata selepas melihat sebuah kereta yang rosak di tengah persimpangan, dia mencari kenderaan lain yang terlibat.

“Saya memandang ke bawah, kemudian saya memandang ke atas dan (motosikal) itu berada di atas — agak gila,” katanya.
Seorang lagi saksi, Jevon Ryan berkata tidak dapat membayangkan bagaimana motosikal itu boleh berakhir di atas tiang lampu isyarat.
“Anda akan fikir ia akan melambung ke kaki lima atau ke arah bangunan perniagaan, tetapi untuk ia naik tepat ke atas sana dan tergantung, ia sangat mengejutkan,” tambahnya.
Kemalangan itu menyebabkan jalan berkenaan ditutup bagi membolehkan kru mengalihkan kenderaan serta membersihkan serpihan di jalan raya.






























