
GWM Malaysia menyusun strategi bagi fasa pembangunan untuk tahun 2026-2028 sekaligus membuktikan komitmen jangka panjang mereka dalam mengukuhkan jenama itu di pasaran Malaysia.
Hala tuju itu dikongsi semasa Malam Penghargaan Tahunan Bersama Media di Kuala Lumpur, malam tadi.
Sejak memasuki pasaran Malaysia, GWM mengorak langkah dengan membangunkan rangkaian produknya, memperkukuhkan kerjasama bersama para pengedar, dan melabur dalam kepakaran tempatan.

Untuk tahun 2025, jenama berkenaan merekodkan hampir 5,900 jualan kenderaan, sekali gus mewakili 177 peratus kadar pertumbuhan dari tahun ke tahun.
Ia menggambarkan penerimaan yang baik terhadap rangkaian produk dan kehadiran mereka diterima di dalam pasaran Malaysia.
Dalam wawasan menuju 2028, GWM Malaysia mensasarkan 6 peratus pegangan pasaran dengan 60,000 jualan tahunan selain berusaha untuk tersenarai dalam 10 Teratas bagi jenama automotif di Malaysia, termasuk 3 Teratas untuk jenama dari China.
Motivasi tinggi ini disokong dengan strategi berasaskan teknologi merentasi persaingan jangka pendek serta turut didorong oleh harga.
Strategi ini juga disokong pelaburan secara berterusan terhadap produk, infrastruktur, dan tenaga kerja.
“Di GWM Malaysia, perkara yang sentiasa menjadi fokus kami adalah membina jenama automotif yang mampu bertahan lama di dalam pasaran.
“Kami bersaing menggunakan kepakaran jurutera, platform pintar, teknologi keselamatan yang dipertingkatkan, dan produk yang kukuh dalam usaha memberi nilai jangka panjang.
“Kesemua ini dipacu rangkaian pasaran semakin berkembang di seluruh negara.
“Pendekatan berteraskan disiplin ini juga memberi asas kukuh terhadap pertumbuhan mampan di samping mengekalkan kepercayaan pelanggan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia.

“Pertumbuhan yang kami capai pada tahun 2025 menunjukkan kami sedang membangunkan sesuatu yang bermakna dan kami berada di landasan yang betul.
“Ia memberi gambaran terdapat peningkatan dalam keyakinan terhadap produk kami, tenaga kerja, dan kecekapan para pengedar kami, serta perkhidmatan selepas jualan yang cekap dan ekosistem.
“Untuk masa seterusnya, fokus kami menjurus kepada untuk meneruskan momentum ini dan memberi nilai jangka panjang dengan meletakkan asas tepat, supaya pertumbuhan kami bukan sahaja mampan, malah jenama ini terus berdiri kukuh untuk tahun-tahun yang mendatang,” tambahnya.

Bagi memberi sokongan kepada peralihan Malaysia ke arah elektrifikasi dan terhadap strategi ASEAN untuk New Energy Vehicle, GWM Malaysia mengulangi pendekatan rangkaian kuasa pelbagai (multi-powertrain), dengan menawarkan pilihan ICE, HEV, PHEV dan BEV dalam senarai portfolionya.
Jenama ini tetap mengekalkan kedudukannya dalam keluaran utamanya iaitu HAVAL, TANK, ORA, dan WEY, di mana setiap satunya direka untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup pelanggan yang berbeza.
Barisan produk GWM yang semakin berkembang merangkumi pelancaran tidak lama lagi model Tank 300 HEV, serta model yang akan membuat kemunculannya iaitu B-SUV dan C-SUV yang sememangnya dirancang untuk tahun 2026-2027, di samping C-SUV yang mewah.
Teknologi tetap menjadi fokus utama, dipacu sistem hibrid pintar GWM Hi4, yang mula-mula diperkenalkan di dalam WEY G9 Hi4 PHEV pada tahun ini.
Teknologi ini akan diguna pakai oleh kesemua model di masa hadapan.
Selain pembangunan produk, jenama ini juga gigih memajukan dan menaik taraf rangkaian pengedar dan perkhidmatan selepas jualannya.
GWM Malaysia meletakkan sasaran operasinya bersama 60 pengedar di seluruh negara, dengan fokus untuk mengembangkan pertumbuhannya secara berstruktur dalam pasaran utama.
Bermula dari 2026, piawaian identiti korporatnya yang dipertingkatkan akan menetapkan standard jelas untuk memberikan pengalaman jualan lebih konsisten dan premium di seluruh rangkaiannya.
Perkhidmatan selepas jualan menjadi kunci utama untuk memperolehi kepercayaan pelanggan.

Ia disokong program latihan teknikal intensif, 95 peratus ketersediaan pemasangan alat ganti di seluruh negara, dan usaha berterusan sistem GWM Care untuk memperkasakan kepuasan para pelanggan sepanjang mereka menjadi pemilik kenderaan tersebut.
GWM Malaysia turut berpegang teguh dengan komitmen jangka panjang terhadap pemasangan tempatan dan operasi CKD, di samping berhasrat meletakkan Malaysia sebagai hab pertumbuhan dan pusat eksport penting di ASEAN.
Strategi ini amat menyokong pembangunan New Energy Vehicle dengan membolehkan berlakunya pemindahan tenaga, memperluaskan eksport kenderaan bernilai tinggi, dan mengukuhkan keupayaan tenaga tempatan menerusi localisation yang lebih menyeluruh, kepakaran teknikal yang lebih canggih, dan pembangunan bakat berkebolehan secara berterusan.





























