Utama Berita Automotif Yamaha XSR155 masuk Jepun, RM13.4 ribu, bila giliran Malaysia?

Yamaha XSR155 masuk Jepun, RM13.4 ribu, bila giliran Malaysia?

7

Yamaha Motor Company memperkenalkan XSR155 ABS untuk pasaran Jepun. Model gaya retro ini sudah dipasarkan di pelbagai negara dengan Jepun menjadi pasaran terbaharu.

XSR155 menjadi motosikal ringan pertama dalam siri XSR dan dibangunkan dengan konsep gabungan gaya fesyen serta keseronokan tunggangan.

Model ini menggabungkan identiti reka bentuk klasik siri XSR bersama komponen moden, selain mengekalkan semangat retro yang menjadi identiti keluarga model tersebut.

Penggunaan enjin 155 cc yang ringan dan mudah dikendalikan memberikan kuasa mencukupi serta tahap praktikaliti tinggi untuk kelas motosikal ringan.

Ia sekali gus membolehkan penunggang melakukan perjalanan lebih jauh dengan lebih santai.

Daripada XSR900 kepada XSR150

Kategori Neo Retro merujuk kepada motosikal yang menggabungkan penampilan retro sejati bersama teknologi moden untuk menghasilkan pengalaman pemanduan menyeronokkan.

Segmen tersebut mula mendapat perhatian di Eropah sekitar pertengahan 2010 an sebelum berkembang menjadi satu segmen yang semakin popular dalam pasaran motosikal global.

Yamaha sebelum ini melancarkan XSR900 di Jepun pada 2016 diikuti XSR700 pada 2017. Kemudian, XSR125 diperkenalkan pada 2023 susulan peningkatan populariti motosikal manual dalam segmen 125 cc.

Menurut Yamaha, pengendalian lincah dan mudah dikawal pada XSR125 menerima maklum balas positif terutama daripada penunggang muda dan pengguna motosikal kedua.

Pada masa sama, terdapat permintaan untuk motosikal yang boleh digunakan bagi perjalanan lebih jauh dan memberikan pemanduan lebih sporti.

Bagi memenuhi keperluan tersebut, Yamaha memperluaskan barisan model sports heritage mereka menerusi pengenalan XSR155.

Model ini masih mengekalkan karakter mudah digunakan serta mudah dikendalikan, tetapi kini turut sesuai digunakan di lebuh raya.

Rekaan Neo Retro dengan identiti XSR

Konsep reka bentuk XSR155 dikenali sebagai XSR’s wanderlust Bro yang menggabungkan tiga elemen utama iaitu XSR Identity, Timeless Quality Impression dan Spirit of Freedom.

Identiti XSR diterjemahkan menerusi gabungan nilai reka bentuk ringkas dan mendatar bersama prestasi moden.

Antara ciri utama ialah lampu hadapan dan lampu belakang berbentuk bulat dengan rekaan minimalis, selain meter LCD bulat yang menggabungkan elemen moden dan retro.

Meter tersebut memaparkan maklumat penting seperti takometer, meter kelajuan, posisi gear dan paras bahan api dalam paparan bersaiz besar.

Pilihan warna terdiri daripada Hijau yang menggabungkan badan hijau separa kusam bersama komponen kelabu gelap kusam.

Perak pula menampilkan kombinasi warna badan lebih sederhana bersama kemasan hitam kusam. Bagi pilihan Hitam, ia hadir dengan garis grafik klasik Yamaha.

Kemasan dan sentuhan premium

Bagi menghasilkan imej bermutu yang tidak lapuk ditelan zaman, Yamaha memberi perhatian terhadap kemasan serta tekstur pada setiap komponen.

Tangki bahan api direka untuk memudahkan cengkaman lutut, manakala pelana jenis tuck roll bukan sahaja menghasilkan penampilan klasik tetapi turut memberi kebebasan kedudukan tunggangan.

Model ini turut menggunakan pendakap lampu hadapan dan panel sisi daripada logam sebenar dengan binaan ringan bermutu tinggi.

Pelindung peredam pula direka supaya sepadan dengan gaya badan motosikal.

Model ini dibekalkan dengan tayar corak bunga off-road depan dan belakang yang memberikan imej lasak serta menyerlahkan karakter suspensi motosikal.

Rangkaian kuasa

XSR155 ABS menggunakan enjin satu silinder 155 cc sejukan cecair, SOHC, empat injap dengan sistem suntikan bahan api.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 19 ps pada 10,000 rpm dan tork maksimum 14Nm pada 7,500 rpm.

Ia turut dilengkapi teknologi VVA atau Variable Valve Actuation yang menukar karakter operasi injap kemasukan antara julat rpm rendah dan rpm sederhana hingga tinggi.

Sistem tersebut membantu menghasilkan tork yang baik di seluruh julat rpm serta memberikan rasa pecutan lebih lancar dan responsif dalam pelbagai situasi tunggangan.

Turut digunakan ialah klac A&S atau Assist & Slipper yang membantu mengurangkan beban operasi tuil klac selain menyokong pertukaran gear lebih lancar ketika pecutan dan nyahpecutan.

Sistem penyejukan pula menggunakan teknologi bypass thermostat yang menukar laluan aliran penyejuk mengikut suhu air.

Ia membantu memastikan prestasi penyejukan lebih baik selain memendekkan tempoh pemanasan enjin untuk meningkatkan kecekapan bahan api.

Casis dan pengendalian

XSR155 ABS menggunakan rangka jenis delta box dengan keseimbangan ketegaran yang baik.

Jarak antara pivot kiri dan kanan selebar 221 mm membantu mengimbangi ketegaran menegak, sisi dan kilasan untuk menghasilkan tahap kawalan yang baik.

Suspensi hadapan menggunakan fork jenis terbalik dengan diameter tiub dalam 37 mm serta jarak gerak 130 mm.

Gabungan tersebut memberikan penyerapan hentakan yang baik, cengkaman hadapan lebih stabil serta tahap ketegaran lebih tinggi.

Bahagian belakang pula menggunakan lengan ayun aluminium ringan bersama suspensi belakang jenis link type Monocross.

Gabungan tersebut bersama tayar belakang lebar bersaiz 140/70 17 membantu menghasilkan pengendalian yang ringan dan mudah dikawal.

Sistem brek hadapan menggunakan cakera 267 mm bersama angkup brek dua pot untuk memberikan kuasa membrek serta kawalan yang baik.

Kedudukan tunggangan 

XSR155 ABS dibangunkan dengan posisi tunggangan bersahaja untuk menyokong gaya pemanduan lebih bebas dalam pelbagai situasi.

Karakter tersebut dicapai menerusi berat 137 kg, ketinggian pelana 810 mm, hendal tegak, bentuk tangki bahan api yang tirus pada bahagian cengkaman lutut serta badan yang langsing.

Menurut Yamaha, kombinasi tersebut membantu memudahkan pengendalian serta proses naik dan turun motosikal.

Harga dan jualan

XSR155 ABS akan dilancarkan di Jepun pada 30 Jun 2026. Harga jualan yang disyorkan ialah 539,000 yen bersamaan sekitar RM13,415.

Yamaha turut menyasarkan jualan sebanyak 4,000 unit setahun untuk pasaran domestik Jepun.

Untuk makluman, XSR155 sudah pun ditayangkan di dalam negara namun masih lagi belum kunjung tiba.

Spesifikasi Yamaha XSR155 ABS Jepun 2026

  • Enjin: 155 cc, 1 silinder, sejukan cecair, SOHC, empat injap
  • Kuasa maksimum: 19 ps@10,000 rpm, 14Nm@7,500 rpm
  • Sistem VVA: Variable Valve Actuation
  • Transmisi: enam kelajuan
  • Klac: basah pelbagai plat dengan Assist & Slipper
  • Penggunaan bahan api WMTC: 48.1 km/l
  • Tangki bahan api: 10 liter
  • Rangka: Delta box
  • Dimensi: 2,005 mm panjang, 805 mm lebar, 1,075 mm tinggi
  • Ketinggian pelana: 810 mm
  • Jarak kelegaan bumi: 170 mm
  • Suspensi hadapan: fork terbalik 37 mm, jarak gerak 130 mm
  • Suspensi belakang: link type Monocross
  • Brek hadapan: cakera hidraulik 267 mm dengan angkup dua omboh
  • Brek belakang: cakera hidraulik
  • Tayar depan: 110/70 17
  • Tayar belakang: 140/70 17
  • Berat: 137 kg

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here