
Syarikat pengeluar China SAIC mendedahkan model EV baharu SAIC Z7 yang mungkin akan disalahertikan oleh sesetengah peminat Porsche.
Ini kerana rupa bentuk daripada setiap sudut boleh dikatakan lebih mirip kepada Porsche Taycan versi sedan dan shooting brake.
Persamaan tersebut lebih jelas terutama pada bahagian bentuk pintu, garis bumbung, cermin sisi, serta rekaan pemegang pintu.
Rekaan lampu belakang dengan bar LED melintang penuh juga dilihat hampir sama.
Malah, versi Shooting Brake juga boleh dikatakan sukar untuk dibezakan dengan Taycan Cross Turismo.
Susun atur ruang kabin mendedahkan beberapa perincian seperti skrin kluster digital yang kecil, skrin infohibur tengah, serta tambahan skrin ketiga untuk penumpang yang sudah menjadi trend EV moden di China.
Terdapat juga pad pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta roda stereng sporti.
Model ini dibangunkan di bawah Harmony Intelligent Mobility Alliance (HIMA) yang diketuai oleh Huawei, dengan tanda harga sekitar 250,000 hingga 350,000 yuan (RM143k-RM200k).
Spesifikasi teknikal Z7 masih belum disahkan.
Namun beberapa laporan media tempatan menyebut EV ini mungkin akan hadir dengan pek bateri 80 kWh dan 100 kWh, serta konfigurasi pacuan roda belakang dan AWD.
































