Utama Berita Automotif #KLIMS 2026 : GWM Malaysia previu ORA 5 HEV dan HAVAL H7...

#KLIMS 2026 : GWM Malaysia previu ORA 5 HEV dan HAVAL H7 Hi4 PHEV

6

GWM Malaysia memperkenalkan dua model baharu ORA 5 HEV dan HAVAL H7 Hi4 PHEV pada acara KLIMS 2026 di MITEC.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata pratonton di reruai jenama berkenaan bukan sekadar pengenalan produk tetapi juga mengetengahkan hala tuju portfolio syarikat.

“ORA 5 HEV mewakili mobiliti yang saling terhubung dan berteraskan gaya hidup, manakala HAVAL H7 Hi4 PHEV memperluaskan penawaran SUV kami ke arah segmen yang lebih berfokus kepada elektrifikasi dan kepelbagaian fungsi.

“Kedua-dua model ini menunjukkan bagaimana GWM sedang membangunkan ekosistem mobiliti yang lengkap dan berbeza, disesuaikan dengan gaya hidup rakyat Malaysia,” jelasnya. 

ORA 5 HEV

ORA 5 HEV, sebuah crossover urban kompak yang dikuasakan oleh sistem hibrid pintar baharu GWM menerusi teknologi Hi2.

Huruf “H” mewakili Hybrid, “i” merujuk kepada Intelligent manakala angka “2” melambangkan keupayaan sistem untuk menawarkan dua manfaat utama secara serentak, iaitu kecekapan bahan api yang cemerlang dan prestasi yang mantap.

ORA 5 HEV dilengkapi enjin 1.5T berkuasa maksimum 223PS dan tork 476Nm bersama transmisi DHT 2-kelajuan. Ia mampu memecut dari 0-100kmj dalam hanya 7.7 saat dan di atas kertas menawarkan penggunaan bahan api di angka 4.4L/100km.

Digabungkan dengan jarak pemanduan melebihi 1,100km, model ini menawarkan penyelesaian praktikal untuk perjalanan harian di bandar mahupun perjalanan antara bandar yang lebih jauh.

Dengan dimensi 4,471 mm panjang, 1,833 mm (lebar) dan 1,641 mm (tinggi) serta jarak roda (2,720 mm), ORA 5 HEV menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa sambil mengekalkan saiz kompak yang mesra untuk penggunaan bandar.

Memperkukuh lagi kredibiliti globalnya, ORA 5 telah menerima pengiktirafan berprestij “Design of the Year” di London Design Awards 2025, sekali gus menjadi kenderaan pengeluaran pertama di dunia menerima pengiktirafan tersebut.

Elemen reka bentuk ikonik seperti lampu hadapan berinspirasikan titisan air, lampu belakang dengan rekaan tersembunyi serta rim aerodinamik berinspirasikan kelopak bunga menyerlahkan identiti yang ekspresif dan berteraskan gaya hidup.

HAVAL H7 Hi4 PHEV

Pada pameran berkenaan, GWM Malaysia turut memperkenalkan SUV off-rod urban HAVAL H7 Hi4 PHEV yang dijana oleh enjin 1.5T berkuasa 370PS dan tork 750Nm. Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 6.2 saat dengan bantuan transmisi DHT 2-kelajuan.

Manakala  jarak pemanduan elektrik penuh mampu mencapai sehingga 150km (CLTC) serta jarak pemanduan gabungan melebihi 1,000km.

Dengan dimensi 4,800 mm panjang, 1,950 mm (lebar) dan 1,843 mm (tinggi) serta jarak roda 2,738 mm, HAVAL H7 Hi4 PHEV menawarkan pengalaman kabin yang luas dan selesa.

Menggunakan bahasa reka bentuk SUV berkotak yang berani, model ini menampilkan gril hadapan berbentuk segi empat yang diinspirasikan kubu pertahanan, lampu utama segi empat berinspirasikan struktur tanggam dan pasak (mortise-and-tenon), serta lampu belakang berinspirasikan potongan kristal.

Kesemua elemen ini menggabungkan karakter lasak dengan sentuhan premium yang sofistikated, sekali gus mewujudkan identiti SUV off-road urban tersendiri.

HAVAL H7 Hi4 PHEV juga memiliki sudut pendekatan 25 darjah, sudut pelepasan 32 darjah, sudut breakover 20.1 darjah, kedalaman redah air maksimum 580 mm serta kunci pembeza belakang kawalan elektronik. 

Keupayaan ini membolehkannya mengharungi pelbagai keadaan pemanduan dengan yakin tanpa menjejaskan keselesaan, kemasan premium dan kepraktisan untuk kegunaan harian. 

Pada acara KLIMS 2026, GWM Malaysia turut menampilkan pelbagai model yang merangkumi mobiliti bandar, keselesaan keluarga, keselamatan, kemewahan serta keupayaan pengembaraan, termasuk HAVAL H6 HEV, WEY G9 Hi4 PHEV, TANK 300 HEV yang baharu diperkenalkan, TANK 500 HEV serta ORA GOOD CAT EV.

Pengunjung juga berpeluang merasai sendiri keupayaan barisan model GWM TANK menerusi laluan halangan off-road khas yang akan berlangsung dari 12 hingga 14 Jun yang mana peserta dapat mengalami sendiri prestasi off-road kenderaan serta teknologi pacuan empat roda termaju yang ditawarkan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here