
Perodua memperkenalkan babak kedua perjalanan kenderaan elektriknya (EV) di KLIMS 2026 yang diinspirasikan oleh generasi baharu Alpha dan Beta.
Kereta konsep baharu tersebut dinamakan Chapter 2 atau C2 yang mewakili gaya reka bentuk berbeza, dilengkapi dengan teknologi terbaharu serta dicipta oleh pereka muda yang mencerminkan visi terhadap masa depan EV.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad, model konsep itu merupakan sebahagian jalan cerita EV syarikat buatan Malaysia untuk dunia, seiring dengan usaha Perodua menambah baik pengalaman mobiliti untuk pelanggan.

“C2 adalah kereta konsep segmen B yang dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan AI seperti navigasi masa sebenar, lokasi stesen pengecasan, kemas kini trafik, ciri anti-curi yang dipertingkat serta bantuan parkir kenderaan.
“Kami juga menggabungkan super app P-Circle ke dalam kereta konsep ini, jadi pelanggan boleh mendapat akses yang mudah kepada perkhidmatan yang kami tawarkan termasuklah e-wallet dan penghantaran alat ganti tulen. Kereta konsep C2 ini mewakili masa hadapan integrasi mobiliti,” katanya.
Tambahnya, C2 juga akan menjadi asas kepada EV di masa hadapan dan mewakili fasa baharu gaya reka bentuk Perodua yang berbeza daripada konsep EM-O terdahulu.
“Kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke reruai Perodua di KLIMS 2026. Gunakan kesempatan ini untuk mencuba pelbagai tarikan yang disediakan oleh syarikat kenderaan nasional ini termasuklah robot interaktif, dron serta pameran penuh aplikasi P-Circle dan tawarannya,” ujar beliau.
GALERI



