Utama Berita Automotif British Airways gantung laluan Abu Dhabi hingga hujung 2026

British Airways gantung laluan Abu Dhabi hingga hujung 2026

13

Iran menyasarkan serangan peluru berpandu di lapangan terbang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mana menjadi kawasan tumpuan pelancong, konsulat Amerika dan hab-hab lain, sekali gus memberi ancaman kepada pengembara.

Terkini, British Airways mengumumkan akan menggantung perkhidmatan ke Abu Dhabi sehingga penghujung tahun ini, selain membatalkan destinasi lain bagi baki bulan Mac ini.

“Disebabkan ketidaktentuan situasi yang berterusan di Timur Tengah dan ketidakstabilan ruang udara, kami terpaksa mengurangkan jadual penerbangan di rantau tersebut buat sementara waktu,” umum syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan di X.

Semua penerbangan ke dan dari Amman, Bahrain, Doha, Dubai dan Tel Aviv telah dibatalkan sehingga lewat bulan ini, kata syarikat penerbangan itu.

“Kami sentiasa memantau situasi tersebut dan sedang berhubung dengan pelanggan kami untuk menawarkan pelbagai pilihan kepada mereka,” jelasnya. 

Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed menyatakan di laman web Abu Dhabi bahawa penumpang dinasihatkan supaya tidak datang ke lapangan terbang melainkan memiliki tiket sah dan dinasihatkan secara eksplisit oleh syarikat penerbangan mereka untuk berbuat demikian.

Ia juga menjelaskan akses ke lapangan terbang akan dihadkan kepada pengembara yang mempunyai pengesahan tiket sahaja.

Pada Sabtu, jurucakap Lapangan Terbang Dubai mengumumkan penyambungan semula operasi secara separa dengan beberapa penerbangan beroperasi dari Antarabangsa Dubai (DXB) dan Dubai World Central – Antarabangsa Al Maktoum (DWC).

“Pengembara digesa supaya tidak datang ke DXB atau DWC melainkan telah dihubungi oleh syarikat penerbangan bahawa penerbangan mereka telah disahkan, memandangkan jadual terus berubah-ubah,” menurut pengumuman itu.

Ia juga menyatakan Lapangan Terbang Dubai terus memantau situasi dengan teliti melalui koordinasi dengan pihak berkuasa berkaitan dan mengekalkan piawaian tertinggi keselamatan operasi, sekuriti serta kesejahteraan penumpang dan kakitangan.

Lufthansa Airlines telah menggantung penerbangan ke dan dari Dubai serta Abu Dhabi dan Dammam sehingga 15 Mac, menurut laman webnya.

Manakala Virgin Atlantic mengumumkan bahawa perkhidmatan Dubai digantung bagi baki musim sejuk ini.

“Dubai adalah laluan bermusim bagi Virgin Atlantic dan seharusnya berakhir pada 28 Mac; bagaimanapun peningkatan ketegangan baru-baru ini di Timur Tengah telah mempercepatkan penamatan operasi kami untuk musim ini,” lapor laman web Virgin Atlantic.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here