
Menerusi Belanjawan 2027, Kerajaan Madani terus memperkasa sektor pengangkutan awam negara merangkumi kenaikan bantuan tiket penerbangan pelajar, pelancaran pas perjalanan baharu, naik taraf bas henti-henti, serta pelaburan bagi memulihkan sistem rel yang sering rosak kebelakangan ini.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejak belakangan ini rakyat sering kali berdepan dengan kejadian tren rosak atau perkhidmatan tergendala sehingga menjejaskan perjalanan ke tempat kerja.
“Oleh itu, Prasarana dan KTMB dipertanggungjawabkan untuk mengambil langkah segera bagi memastikan kelancaran perkhidmatan tren.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, Prasarana melabur lebih RM3.4 bilion untuk pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel mereka,” katanya.
Sementara itu, Kerajaan juga akan memperoleh 42 set tren baharu bagi perkhidmatan ETS dan KTM Komuter.
Beliau menambah ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka mula beroperasi Disember ini yang mana Malaysia dan China turut sepakat untuk menyambung laluan ke Rantau Panjang.
Justeru itu, perkhidmatan bas henti-henti ditingkatkan di bandar-bandar utama dengan peruntukan RM270 juta termasuk menghubung 15 stesen di Pantai Timur menjelang pengoperasian ECRL.
Selain itu, Anwar Ibrahim turut mengumumkan bantuan subsidi tiket penerbangan Flysiswa yang ditingkatkan kepada RM500 berbanding RM400 sebelum ini yang dijangka memanfaatkan lebih 60,000 penuntut seluruh negara.
“Kemudahan MYKOMUTER50 akan diperkenalkan untuk manfaat 40,000 pengguna KTM Komuter. Melalui kemudahan ini, wang pengguna dapat dijimatkan secara purata sehingga RM160 sebulan.
“Sementara itu, pas percuma diberikan kepada 360,000 murid sekolah, komuniti OKU dan kanak-kanak bawah enam tahun,” ujarnya.































