
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menyita sebuah supercar mewah selepas didapati menggunakan nombor plat tidak mengikuti spesifikasi dalam Ops Luxury yang dijalankan di Persiaran Ampuan Rahimah, pada Rabu.
Hasil pemeriksaan JPJ Negeri Selangor itu mendapati, kenderaan tersebut dipandu dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh.
Susulan kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan, Lamborghini berkenaan dibawa ke Depoh Sita JPJ Shah Alam untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pihak JPJ Negeri Selangor menegaskan bahawa mereka sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang jalan raya demi memastikan keselamatan awam sentiasa terjaga,” menurut kenyataan.
Orang awam yang ingin menyalurkan aduan kesalahan lalu lintas boleh berbuat demikian melalui emel aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan beserta butiran lengkap aduan.






























