Utama Berita Automotif Jaecoo 8 SHS-P dengan jarak lebih 1,100 km untuk UK, versi Malaysia...

Jaecoo 8 SHS-P dengan jarak lebih 1,100 km untuk UK, versi Malaysia tanpa PHEV

6

Jaecoo UK melancarkan SUV flagship terbaharu, Jaecoo 8 SHS-P, yang juga model tiga baris tempat duduk pertama jenama itu di pasaran UK.

Model pasaran UK dilengkapi sistem hibrid plug-in yang dikenali sebagai Super Hybrid System (SHS) daripada syarikat induk Chery International.

Rangkaian kuasa ini berbeza daripada J8 pasaran tempatan yang menggunakan nadi 2.0 liter turbo.

Varian Luxury dan Executive

Jaecoo 8 SHS-P ditawarkan dalam dua pilihan spesifikasi utama. Varian Luxury hadir dengan konfigurasi 7 tempat duduk yang memfokuskan kepada fleksibiliti ruang untuk keluarga besar.

Varian ini dilengkapi dua paparan 12.3 inci, sistem audio SONY 14 pembesar suara, serta ketersambungan tanpa wayar Android Auto dan Apple CarPlay sebagai ciri standard.

Bagi varian Executive, ia menawarkan konfigurasi 6 tempat duduk dengan fokus kepada keselesaan kelas pertama.

Varian ini dilengkapi empat kerusi kapten yang mempunyai fungsi pemanas, pengudaraan, dan urutan.

Kerusi pemandu pula mendapat sokongan paha yang boleh dilaraskan, manakala kerusi penumpang hadapan hadir dengan ciri sifar gravitu yang boleh dilaraskan sehingga 123 darjah serta dilengkapi Boss Button untuk kawalan dari bahagian belakang.

Penggunaan kulit Nappa pada keseluruhan tempat duduk memberikan suasana kabin yang lebih eksklusif.

Rangkaian Kuasa Super Hybrid System (SHS-P)

Kedua-dua varian di UK dikuasakan oleh unit enjin 1.5 liter pengecas turbo yang digabungkan dengan sistem hibrid plug-in dan transmisi 3-kelajuan DHT.

Sistem pacuan semua roda (AWD) ini mampu menghasilkan output keseluruhan sebanyak 428 ps dan tork 580Nm.

SUV ini berupaya memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 5.8 saat sahaja.

Sebagai model PHEV, Jaecoo 8 SHS-P menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 133 km, manakala jarak pemanduan gabungan mencecah lebih 1,126 km dengan satu tangki penuh dan cas bateri maksimum.

Sistem ini juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 40 kW yang membolehkan pengecasan dari 30 peratus ke 80 peratus dalam masa sekitar 20 minit.

Selain itu, fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti 6.6 kWj turut disediakan untuk kegunaan peranti elektrik luaran.

Keupayaan Off-road dan Keselamatan

Walaupun mementingkan kemewahan, Jaecoo 8 tetap mengekalkan DNA kembara jenama tersebut.

Model ini yang pertama dari Jaecoo dilengkapi kunci pembeza (lockable differentials) yang berfungsi bersama sistem tindak balas rupa bumi adaptif.

Keselesaan pemanduan turut ditingkatkan melalui sistem suspensi adaptif Continuous Damping Control (CDC).

Dari aspek keselamatan, SUV ini menggunakan 85 peratus keluli berkekuatan tinggi dan dilengkapi dengan 10 beg udara.

Terdapat 19 sistem bantuan pemandu (ADAS) yang merangkumi ciri seperti Front Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Lane Keeping Assist (LKA).

Lagi sistem canggih seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Blind Spot Detection (BSD) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Perbandingan Pasaran Malaysia

Jaecoo J8 di pasaran tempatan menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder petrol turbo yang dikongsi bersama model Tiggo 8 Pro dan Omoda C9.

Enjin ini menghasilkan 249 ps dan tork 385Nm yang disalurkan ke roda hadapan melalui kotak gear automatik lapan kelajuan.

Jaecoo J8 di Malaysia dipasang secara tempatan (CKD) di Shah Alam, Selangor.

Harga bermula daripada RM178,800 untuk varian asas 5 tempat duduk 2WD, manakala varian AWD dengan 6 tempat duduk dijual pada harga RM198,800.

Harga di UK

Di UK, Jaecoo 8 varian Luxury ditawarkan pada harga £45,500 (kira-kira RM239,284) manakala varian Executive bermula dari £47,500 (kira-kira RM249,802).

Tempahan di UK telah dibuka dengan penghantaran dijangka bermula pada Mei 2026.

Spesifikasi Jaecoo 8 SHS-P 2026 UK 

  • Enjin: 1.5 liter pengecas turbo dengan sistem hibrid plug-in
  • Transmisi: 3-kelajuan DHT
  • Kuasa Maksimum Gabungan: 428 ps
  • Tork Maksimum: 580Nm
  • Pecutan 0 ke 100 km/j: 5.8 saat
  • Jarak Pemanduan Elektrik: 133 km
  • Jarak Pemanduan Gabungan: 1,126 km
  • Kapasiti Pengecasan Pantas DC: 40 kW (30 peratus ke 80 peratus dalam 20 minit)
  • Kapasiti V2L: 6.6 kWj
  • Sistem Pacuan: Semua roda (AWD) dengan kunci pembeza
  • Kapasiti But: Sehingga 2,021 liter (tempat duduk belakang dilipat)
  • Kedalaman Redahan Air: Sehingga 600 mm
  • Sistem Audio: SONY 14 pembesar suara
  • Waranti Kenderaan: 7 tahun atau 160,934 km
  • Waranti Bateri: 8 tahun atau 160,934 km
  • Pilihan Warna: Amazonite Blue, Basalt Black, Granite White, Iced Slate Grey, dan Pearl Silver

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here