Utama Berita Automotif Proton tawar insentif tukar-beli kenderaan lama

Proton tawar insentif tukar-beli kenderaan lama

5

Proton Holdings Bhd (Proton) menawarkan insentif tukar-beli membabitkan semua model semasa dalam rangkaiannya kepada pelanggan yang ingin menukar beli kenderaan berusia 20 tahun atau lebih.

Pengeluar kereta nasional itu dalam kenyataan berkata, inisiatif itu adalah selaras dengan pelancaran program geran padanan kerajaan bagi penggantian kenderaan lama.

Menurutnya, nilai insentif ditawarkan akan dipadankan melalui program geran padanan sehingga RM2,000 sekali gus membantu mengurangkan kos pembelian kenderaan baharu keluaran Proton.

“Kesemua model Proton layak di bawah tawaran ini, termasuk insentif sehingga RM1,000 untuk pembeli Proton Saga dan Proton e.MAS 5.

“Insentif bernilai RM2,000 ditawarkan bagi model lain dalam rangkaian Proton termasuk Proton X50 dan Proton X70 yang telah dikemas kini serta Proton e.MAS 7,” katanya.

Menurut Proton lagi, jumlah maksimum insentif yang boleh diterima pelanggan menerusi geran padanan kerajaan adalah antara RM2,000 hingga RM4,000.

Katanya, penawaran insentif ini menyokong usaha kerajaan mengurangkan jumlah kenderaan lama di jalan raya dan menggalakkan penggantian kenderaan yang lebih selamat, mesra alam dan cekap tenaga.

“Inisiatif ini turut menyokong sasaran Proton bagi 2026 untuk mencapai jualan sebanyak 200,000 unit susulan prestasi pada tahun sebelumnya apabila pertumbuhan jumlah jualan syarikat mengatasi pertumbuhan jumlah industri,” kata kenyataan itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here