
Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) secara rasmi menarik semula penarafan keselamatan 5-bintang bagi Proton X90 susulan pelancaran model facelift (2026).
Ia berikutan pengurangan spesifikasi penting Sistem Bantuan Keselamatan Termaju (ADAS) pada X90 facelift berkenaan dan kesannya, penarafan SUV itu kini dihadkan pada tahap 1-Bintang sahaja.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, selepas menyemak spesifikasi rasmi Proton X90 (2026) facelift yang dilancarkan, ASEAN NCAP mendapati sebahagian besar teknologi ADAS yang ada semasa penilaian model X90 (2023) telah dikeluarkan termasuk:
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW)
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Bantuan Kekal Lorong (LKA)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
- Teknologi Titik Buta (BST), sebelum ini merupakan ciri standard dan kini dibuang sepenuhnya.
“Susulan itu, di bawah Protokol ASEAN NCAP 2021–2025, penarafan bintang sesebuah kenderaan akan dihadkan jika ia menunjukkan prestasi buruk dalam mana-mana kategori tunggal, bagi memastikan perlindungan menyeluruh diberikan.
“Penyingkiran teknologi-teknologi ini telah menyebabkan skor Bantuan Keselamatan (SA) jatuh ke tahap 4-Bintang, manakala kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS)—yang sangat bergantung kepada BST telah merosot mendadak ke penarafan 1-Bintang,” jelasnya.
MODEL PROTON X90 (2023-2025) MASIH KEKAL 5-BINTANG

Namun, ASEAN NCAP mengesahkan bahawa penarafan keselamatan 5-Bintang hanya terpakai untuk varian X90 yang dikilangkan antara tahun 2023 hingga 2025.
Model-model khusus itu telah disahkan memiliki teknologi ADAS yang ditetapkan oleh protokol penilaian 2021–2025 ASEAN NCAP.
Proton X90 model 2023 memperoleh penarafan 5-Bintang di bawah protokol ASEAN NCAP 2021–2025 dengan skor keseluruhan 83.79 mata.
Ia melibatkan prestasi cemerlang dalam Perlindungan Penumpang Dewasa dengan skor 37.75 mata, Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (17.79 mata), Bantuan Keselamatan (15.71 mata), dan Keselamatan Penunggang Motosikal (12.50 mata).
MIROS dan ASEAN NCAP menggesa para pengguna untuk lebih teliti dan menyemak spesifikasi keselamatan varian pilihan mereka bagi memastikan ia memenuhi piawaian 5-Bintang tersebut.
Ketua Pengarah MIROS, Prof Madya Ir.Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak berkata pihaknya kesal dengan keputusan Proton mengeluarkan teknologi ADAS daripada model facelift yang mampu menyelamatkan nyawa.
“Bagi melindungi pengguna dan mengekalkan integriti piawaian keselamatan, kami tidak mempunyai pilihan selain menarik balik penarafan 5-Bintang tahun 2023 tersebut.
“Ini menjadi peringatan kepada semua pengeluar, keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi. Jangan korbankan teknologi keselamatan yang telah terbukti demi kemewahan luaran semata-mata seperti sistem infohibur atau upholsteri kulit,” ujarnya.


