
Dalam masa dua tahun selepas dilancarkan, Tata Motors kini memperkenalkan Punch EV (2026) versi facelift.
Ia hadir dengan bateri berkapasiti lebih besar, pengecasan lebih pantas dan harga jualan yang lebih murah.
Perubahan dari segi luar bersifat minima, di mana Tata Punch EV (2026) mendapat bampar yang lebih kemas, rim aloi 16 inci baharu serta bar LED melintang penuh bahagian belakang.
Untuk ruang kabin juga tidak banyak perubahan dibawakan.
Varian lebih tinggi datang dengan dua skrin 10.25 inci, pengecas tanpa wayar, tempat duduk berpengudaraan, sunroof kawalan suara, dan kamera 360 darjah. Enam beg udara adalah standard untuk semua varian, cuma model asas tiada skrin infotainmen.
Perubahan yang besar terletak pada unit rangkaian kuasa, di mana Punch EV hadir dengan pek bateri berkapasiti lebih besar berbanding model terdahulu, iaitu 30 kWh dan 40 kWh dengan jarak pandu sehingga 355 km.
Punch EV turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 65 kW (berbanding 50 kW) dengan tempoh pengecasan 20-80 peratus dalam masa 26 minit.
Versi Medium Range dikuasakan motor elektrik 85 hp sementara varian Long Range pula mendapat motor elektrik 127 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9 saat (-0.5 saat).
Untuk menjadikan Punch EV lebih mesra pembeli, Tata Motors menurunkan harga jualan bermula dari ₹6.49 lakh (RM27,879).
Cuma, pembeli perlu menyewa pek bateri pada kadar ₹2.6 per km (RM0.11/km).
Tata Motors turut menawarkan Punch EV lengkap dengan pakej bateri pada harga antara ₹9.69 lakh hingga ₹12.59 lakh (RM42k-RM54 ribu).

































