
Hyundai Motor Malaysia menandatangani Collaboration of Cooperation (COC) bersama tiga akademi — TVET MARA Masjid Tanah, SLC Auto Academy dan Kolej Antarabangsa Despark — bagi menyokong serta memperkasa generasi baharu dalam bidang automotif profesional di Malaysia.
Berpandukan visi global Hyundai Progress for Humanity, inisiatif ini mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam membangunkan bakat tempatan serta menyokong pertumbuhan mampan industri automotif negara.
Melalui pelaburan dalam pendidikan, pemindahan kemahiran dan tekonologi masa depan, Hyundai berhasrat memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan ekosistem automotif negara untuk generasi akan datang.
Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen, berkata, Hyundai Motor Malaysia komited dalam mempercepatkan masa depan mobiliti sambil memberi sumbangan bermakna kepada komuniti.
“Janji kami iaitu ‘Sentiasa Di Sisi Anda’ melangkaui pelanggan – ia mencerminkan dedikasi kami dalam menyokong komuniti tempatan dan membangunkan generasi masa depan.
“Melalui kerjasama bersama akademi tempatan ini, kami berharap dapat melengkapkan bakat muda dengan kemahiran relevan dan pendedahan dunia industri sebenar.
“Ia sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja yang mampu mendahului kemajuan industri serta memacu pertumbuhan berterusan sektor automotif Malaysia,” katanya.
Kerjasama ini memperkenalkan program selama 3 hari merangkumi lima sesi sepanjang tahun 2026, yang dirancang untuk memberi pendedahan secara praktikal kepada pelajar dan tenaga pengajar terhadap teknologi yang bakal membentuk mobiliti masa depan.
Program ini memberi tumpuan kepada bidang penting dalam pembangunan kenderaan moden dan sokongan selepas jualan.
Antara topik diketengahkan ialah:
- Komunikasi Rangkaian Kenderaan & Sistem Elektrikal Badan Lanjutan
- Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS)
- Mobiliti Masa Depan Hidrogen FCEV
- Sistem Keselamatan dan Pembaikan Kenderaan Mesra Alam
“Kami amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama strategik bersama Hyundai Motor Malaysia.
“Kolaborasi ini memperkukuhkan hubungan industri bagi TVET MARA Masjid Tanah, khususnya dalam aspek perkongsian kepakaran, teknologi automotif terkini serta penempatan pelajar dalam bidang Energy Efficient Vehicle.
“Kami yakin inisiatif ini dapat membantu melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang relevan dengan industri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan graduan TVET yang berkualiti dan berdaya saing dalam industri automotif negara,” kata Shabudin Said, Pengarah TVET MARA Masjid Tanah.
Maklumat lanjut berkaitan COC ini boleh didapati dengan melayari www.hyundai.com/my/en.






























