
Hyundai Ioniq 6 N dipercayai sudah berada di Malaysia selepas sedan elektrik prestasi tinggi itu ditemui berdasarkan perkongsian oleh Eric Goh di laman Facebook Malaysian Electric Vehicle Owners Club.
Kemunculan model berprestasi tinggi daripada Hyundai N itu sekaligus menguatkan kemungkinan ia bakal dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) yang berlangsung minggu depan.
Untuk makluman, Hyundai Motor Malaysia (HMY) sebelum ini sudah membuka tempahan untuk Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N sempena Penang Autoshow 2026.
Ketika pengumuman dibuat, Hyundai menganggarkan harga sekitar RM450,000 bagi Ioniq 5 N dan RM460,000 untuk Ioniq 6 N.
Dilancarkan di Goodwood Festival of Speed 2025
Ioniq 6 N pertama kali diperkenalkan secara global di Goodwood Festival of Speed 2025 di United Kingdom dan menjadi model EV prestasi kedua Hyundai N selepas Ioniq 5 N.
EV ini dibangunkan berdasarkan falsafah utama Hyundai N iaitu Corner Rascal, Racetrack Capability dan Everyday Sportscar, yang memberi tumpuan kepada pengendalian agresif, kemampuan litar dan keselesaan penggunaan harian.
Hyundai turut menyatakan bahawa pembangunan Ioniq 6 N mengambil inspirasi daripada program sukan permotoran dan inisiatif rolling lab bagi menghasilkan EV berprestasi tinggi yang lebih menyeronokkan dipandu.
650 PS dan 0-100 km/j dalam 3.2 saat
Ioniq 6 N dibekalkan dua motor elektrik yang menghasilkan 609 PS dan 770 Nm tork.
Menerusi fungsi N Grin Boost, kuasa meningkat kepada 650 PS untuk tempoh 10 saat.
Sedan elektrik itu mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.2 saat menggunakan N Launch Control sebelum mencapai kelajuan maksimum 257 km/j.
Kuasa disalurkan menerusi bateri 84 kWj bersama sistem pengurusan bateri baharu dikenali sebagai N Battery yang direka untuk pelbagai situasi pemanduan termasuk drag, sprint dan endurance.
Sistem pengecasan pantas DC 350 kW pula membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam sekitar 18 minit dalam keadaan optimum.
Tumpuan terhadap pengalaman pemanduan
Antara ciri utama lain termasuk sistem simulasi penukaran gear N e-Shift, sistem bunyi N Active Sound+, N Drift Optimizer, N Torque Distribution, N Pedal dan suspensi Kawalan Elektronik (ECS) baharu dengan stroke sensing damper.
Hyundai turut memberikan perhatian besar terhadap aspek aerodinamik menerusi penggunaan sayap belakang swan neck, badan lebih lebar dan talaan casis baharu bagi meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Ioniq 6 N juga menggunakan tayar khas Pirelli P-Zero 5 bersaiz 275/35R20 yang dibangunkan khusus untuk model tersebut.
Sudah menang pelbagai anugerah antarabangsa
Sejak diperkenalkan di Goodwood tahun lalu, Ioniq 6 N sudah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.
Antaranya Best Electric Performance Car di What Car? Awards 2026, Performance Car of the Year oleh Korea Automobile Journalists Association.
EV ini turut dijulang sebagai Best Driver’s Car dari TopGear.com EV Awards 2026 serta World Performance Car dari World Car Awards 2026.
Media antarabangsa turut memberikan pujian terhadap model tersebut dengan Car and Driver menyifatkannya sebagai “terasa seperti sebuah kereta sport”.
Top Gear pula menyatakan pengalaman pemanduannya membuatkan pengguna “terlupa bahawa ia sebuah EV”.
Ioniq 6 sudah berada di Malaysia pada 2023
Sebelum ketibaan varian N, Hyundai terlebih dahulu melancarkan Ioniq 6 standard di Malaysia pada tahun 2023.
Ketika pelancaran awal, Hyundai menawarkan dua varian iaitu Max RWD pada harga RM289,888 dan Max AWD berharga RM319,888.
Kedua-dua varian menggunakan bateri litium-ion polimer 77.4 kWj dengan jarak pemanduan sehingga 614 km WLTP bagi Max RWD dan 519 km bagi Max AWD.
Varian Max RWD menghasilkan 228 PS dan 350 Nm tork, manakala Max AWD menawarkan gabungan kuasa 325 PS dan 605 Nm tork menerusi konfigurasi dua motor elektrik.
Hyundai kemudian memperluaskan barisan Ioniq 6 menerusi pengenalan varian Lite RWD dan Plus RWD pada September 2023.
Ioniq 6 Lite RWD dijual pada harga RM219,888, sementara Plus RWD pula berharga RM249,888.
Kedua-dua model tersebut menggunakan bateri 53 kWj bersama motor elektrik pacuan belakang yang menghasilkan 151 PS dan 350 Nm tork, selain menawarkan jarak pemanduan sehingga 429 km WLTP.
Dengan unit Ioniq 6 N kini sudah ditemui di Malaysia dan tempahan rasmi sudah dibuka, pelancaran rasmi model tersebut dilihat hanya menunggu masa.
Jika benar membuat penampilan di KLIMS minggu depan, Ioniq 6 N bakal menjadi antara model EV prestasi paling menarik yang akan dipamerkan tahun ini.
Sumber: Eric Goh, Hyundai, PaulTan





































