
Toyota Motor North America memperkenalkan Highlander BEV iaitu sebuah SUV elektrik dengan tiga barisan tempat duduk di Ojai, California.
Langkah ini memperlihatkan komitmen Toyota dalam menawarkan pelbagai penyelesaian mobiliti dan pilihan kenderaan berelektrik yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan di rantau berkenaan.
Model ini akan dihasilkan di kilang Toyota Motor Manufacturing Kentucky dan model BEV keempat dalam barisan produk Toyota di sana selepas bZ, C-HR (Toyota C-HR Plus Eropah) dan bZ Woodland (nama pasaran bagi bZ4X Touring).
Highlander BEV dijadualkan untuk memulakan jualan di Amerika Utara pada penghujung tahun 2026.
Evolusi SUV Keluarga Ke Arah Elektrik
Sejak dilancarkan di Amerika Syarikat pada tahun 2001, Highlander telah menjadi pilihan utama bagi golongan berkeluarga.
SUV ini terkenal dengan ruang kabin yang luas serta prestasi pemanduan yang cemerlang untuk kegunaan di bandar mahupun aktiviti luar.
Dengan jualan terkumpul melebihi 3,600,000 unit setakat tahun 2025, pengenalan versi elektrik ini bertujuan untuk terus memacu evolusi Highlander dalam era mobiliti mampan.
Teknologi Bateri dan Jarak Pemanduan
Pelanggan diberikan fleksibiliti dalam memilih konfigurasi pemanduan yang bersesuaian dengan keperluan mereka melalui dua pilihan sistem penggerak utama:
- Pacuan Roda Hadapan (FWD)
- Pacuan Semua Roda (AWD)
Toyota menawarkan dua pilihan kapasiti bateri litium-ion bagi memenuhi gaya hidup pengguna yang berbeza.
Spesifikasi pertama mempunyai kapasiti 76.96 kWj yang dioptimumkan untuk pemanduan urban seperti urusan harian atau membeli-belah.
Bagi pelanggan yang kerap melakukan perjalanan jarak jauh dan aktiviti luar, pilihan kapasiti 95.82 kWj disediakan untuk jarak pemanduan yang lebih jauh.
Bagi spesifikasi 95.82 kWj dengan sistem pacuan semua roda, sasaran pembangunan jarak pemanduan adalah sehingga 515 km (320 batu) mengikut mod EPA.
Jarak ini dibantu oleh penggunaan bateri berkapasiti tinggi serta peningkatan kecekapan pada sistem eAxle.
Satu lagi ciri penting yang disertakan ialah sistem oemanasan awal bateri. Fungsi ini melaras suhu bateri ke tahap optimum sebelum pengecasan pantas dilakukan.
Dengan teknologi ini, sasaran tempoh pengecasan pantas adalah sekitar 30 minit (dari 10 peratus ke 80 peratus) menggunakan pengecas 150 kW walaupun dalam keadaan cuaca sejuk melampau mencecah -10 darjah Celsius.
Spesifikasi Toyota Highlander BEV Amerika Utara:
- Panjang: 5,049 mm
- Lebar: 1,988 mm
- Tinggi: 1,709 mm
- Jarak Roda: 3,050 mm
- Kapasiti Bateri: 76.96 kWj atau 95.82 kWj
- Jarak Pemanduan Varian FWD (76.96 kWj): 461 km
- Jarak Pemanduan Varian AWD (76.96 kWj): 434 km
- Jarak Pemanduan Varian AWD (95.82 kWj): 515 km

































