
Sempena GP Malaysia yang bakal berlangsung hujung minggu ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) rasmi memperkenalkan Yamaha YZF-R25 facelift ke pasaran tempatan pada majlis eksklusif MotoGP Rider Meet and Greet.
Dijual pada harga cadangan RM23,098 seunit, sportbike itu menampilkan rekaan terbaru R-Series inspirasi daripada DNA perlumbaan Yamaha.
Bahagian hadapan kini dilengkapi dengan fairing yang lebih panjang manakala panel kontra yang berani menghasilkan siluet yang lebih kemas dan bergaya.
Lampu posisi berkembar menyerlahkan lagi kehadiran motosikal dengan rupa yang agresif bersama pelana dan panel sisi yang lebih tirus meningkatkan keselesaan ergonomik.
Buat pertama kalinya juga, Yamaha YZF-R25 dilengkapi klac Assist dan Slipper untuk penukaran gear rendah yang lebih lancar dan kawalan lebih baik.
Kemudian ia kini boleh disambungkan kepada aplikasi Y-Connect yang membolehkan akses
terus ke telefon pintar bagi mendapatkan notifikasi penting, kadar penggunaan minyak, cadangan penyelenggaraan dan juga lokasi parkir terakhir.
Yamaha YZF-R25 (2025) masih menggunakan enjin 249cc dua silinder selari DOHC, berkuasa 26.4 kW @ 12,000rpm dan tork 22.6Nm @ 10,000rpm.
Ia juga dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS) dan lampu isyarat LED untuk keselamatan dan gaya yang lebih moden.
Yamaha YZF-R25 baharu kini boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara menerusi dua pilihan warna badan Pearl Blu dan Racing Blu.