
Wanita ditemukan maut dalam Perodua Myvi yang diparkir di sebuah stesen minyak di Jalan Paya Terubong di Georgetown, malam tadi.
Turut ditemukan dalam kenderaan milik mangsa ialah pelbagai barangan sehingga menutupi ruang dalam keretanya.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong Khairul Annuar Mohd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, pada 7.48 malam.
Beliau berkata, maklumat awal diterima bagi bantuan membuka pintu Perodua Myvi yang berkunci daripada dalam.

“Pasukan penyelamat berdepan kesukaran bagi membuka pintu kereta itu berikutan keadaan bahagian dalam kenderaan dipenuhi barangan.
“Wanita berkenaan ditemukan selepas cermin tingkap bahagian penumpang belakang dipecahkan.
“Mangsa berada di tempat duduk pemandu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Difahamkan, pelbagai barangan di dalam kenderaan berkenaan ketika pemeriksaan polis termasuk pakaian, bantal, kotak, beg, makanan serta sejumlah dadah.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dikesan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Sementara itu, ibu mangsa berkata, dia menerima panggilan daripada polis memaklumkan anaknya ditemukan meninggal dunia dalam kereta pada 8.30 malam.
Anaknya yang berusia 38 tahun itu didakwa mempunyai masalah kesihatan mental dan mendapat rawatan di klinik hampir 10 tahun.
“Keadaannya yang kurang sihat menyebabkan dia gemar menyimpan pelbagai barangan di dalam kereta seolah-olah tinggal di dalam kenderaan itu, namun sebenarnya dia tetap pulang ke rumah setiap hari.
“Setiap hari dia pulang ke rumah seperti biasa, tiba-tiba saya dikejutkan dengan kejadian sebegini,” katanya.






























