
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Negeri Kedah menyita sebuah bas ekspres selepas mendapati pemandu gagal mengemukakan Lesen Memandu Kompeten serta Lesen Vokasional dalam Ops Tahun Baru Cina (2026).
Menurut kenyataan, seramai 31 penumpang berdepan risiko apabila pemandu bas ekspres itu tidak memiliki lesen yang diwajibkan bagi kenderaan pengangkutan awam.
“Siasatan lanjut turut mendapati bas berkenaan asalnya berdaftar sebagai bas persiaran dan telah memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina untuk beroperasi sebagai bas ekspres.

“Namun, kenderaan itu didapati beroperasi di luar kawasan yang diluluskan dalam lesen tersebut,” ujarnya.
Bagi menjaga kebajikan penumpang, JPJ mengarahkan pihak syarikat menyediakan pemandu berlesen sah serta bas gantian bagi memastikan perjalanan diteruskan dengan selamat.
JPJ Negeri Kedah menegaskan bahawa sebarang pelanggaran syarat lesen dan peraturan pengangkutan awam tidak akan dikompromi kerana melibatkan keselamatan nyawa pengguna.
“Orang ramai disaran menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan kenderaan awam,” menurut kenyataan.






























