
Perodua rasmi melancarkan kereta elektrik (EV) sulungnya yang dinamakan sebagai QV-E pada harga RM80,000 seunit.
Model itu boleh ditempah menerusi sembilan pusat jualan sah iaitu Perodua Sentral, PSSB Juru, PSSB Ipoh 2, PSSB Kota Bharu 1, PSSB Kuantan, PSSB Johor Bahru 1, PSSB Senawang, PSSB Glenmarie dan PSSB Putrajaya.
QV-E yang merupakan singkatan kepada Quest for Visionary Electric Vehicle didatangkan dengan skim Battery-as-a-Service (BaaS) melibatkan ansuran bulanan RM275 dengan pembayaran tunggal bersama pembiayaan kenderaan.
Pelanggan yang memilih pinjaman sewa beli bersama skim pajakan bateri hanya perlu menjalankan transaksi tunggal (kereta+bateri) kepada bank, seterusnya pihak bank akan menyerahkan bayaran ansuran bateri kepada Perodua.

Skim bateri itu bertujuan untuk memberikan pengalaman bebas kebimbangan kepada pengguna selepas mengambilkira kos penggantian dan isu pelupusan bateri serta nilai jualan semula kenderaan.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad, pajakan bateri adalah selama sembilan tahun (108 bulan).
“Ini first time diperkenalkan, dan the idea adalah ‘worry free’, tidak perlu risau mengenai bateri, range anxiety ke, tak payah risau pasal bateri punya lifetime, warranty what so ever.
“Selepas 108 bulan, anda boleh terus menggunakan bateri itu sampai habis. Tidak payah bayar sewa apa-apa,” katanya selepas sesi pandu uji di Litar Sepang Antarabangsa, baru-baru ini.
Jelasnya, ia bagi meminimumkan kos dan memastikan kesihatan bateri QV-E dalam keadaan terbaik dan apabila prestasi bateri menurun di bawah 70 peratus akan diganti dengan baharu.
“Tetapi, dalam masa 108 bulan itu, sekiranya tiga tahun atau empat tahun bateri rosak, kita ada skim waranti. Perodua akan ganti bateri baharu, tak payah extend rental.
“Sepanjang proses itu, penyelenggaraan adalah di bawah Perodua, insurans bateri juga di bawah Perodua, dan segala-galanya di bawah Perodua. Sebab itu kami kata waranti seumur hidup.
“Penyelenggaraan kenderaan pelanggan kena bayarlah. Tetapi bateri dan segala-galanya sebenarnya di bawah Perodua,” ujar Zainal Abidin.
Pengurusan Aset Bateri & Pasport Bateri
Selain itu, Perodua juga mengambil tanggungjawab untuk pelupusan bateri, yang mesti dilakukan dengan betul agar tidak membahayakan alam sekitar.
Justeru itu, pihak syarikat akan memantau aset bateri melalui ‘Pasport Bateri’. Sistem pengawasan ini bertujuan untuk mengesan jika bateri ditanggalkan atau diganggu (tampered) tetapi ia tidak digunakan untuk memantau pergerakan kenderaan.
Perodua juga mempunyai perancangan untuk kitar semula bateri mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Pasport Bateri negara.
Namun, sebelum kitar semula, syarikat itu merancang untuk menggunakan bateri tersebut untuk tujuan kitaran hayat kedua, contohnya sebagai penyimpanan tenaga.
Pengumuman program ini dijangka akan dibuat dalam tempoh enam bulan akan datang.
Zainal Abidin juga menyatakan urusan jual beli kenderaan terpakai juga perlu melalui program Pre-Owned Vehicle (POV) Perodua.
Ini kerana kebimbangan nilai jualan semula yang rendah dan risiko kesihatan bateri yang menurun akan menelan kos yang sangat tinggi untuk diganti.
Pajakan bateri CATL itu menghapuskan isu ini kerana pemilik baharu memulakan kontrak baharu untuk bateri yang segar.
“Basically the leasing is on the battery. Katalah bateri tu saya bagi misalnya Bateri A. Leasing is actually based on Bateri A. So, if you use bateri up to five years, then you sell, you stop your leasing lah because you never use bateri A.
“But new customer will take over the car and still using the Bateri A, they just continue the balance of four years, because dia leasing on the bateri. Tapi kalau kita tukar bateri, it becomes Bateri B, then the new leasing will start from for Bateri B,” jelasnya.
RINGKASAN BaaS

- Tiada Isu Pelupusan: Apabila bateri tamat hayat, Perodua akan menguruskan kitar semula secara selamat dan mengikut undang-undang. Anda tidak perlu risau tentang pelupusan bateri.
- Battery Tracker: Setiap bateri dipasang dengan alat pengesan. Jika kereta terbiar atau bateri dicabut tanpa kebenaran, Perodua akan menghantar pasukan “Battery Rescue” untuk mengambilnya. Ini bagi memastikan keselamatan dan mencegah pencemaran.
- Penggantian Bateri: Sekiranya prestasi bateri jatuh di bawah 70 peratus daripada State of Health (SOH) dalam tempoh 108 bulan, Perodua akan ganti baharu.
- Kerosakan: Sekiranya bateri rosak dalam tempoh tersebut, Perodua akan menggantikannya tanpa melanjutkan tempoh pajakan melebihi sembilan tahun yang asal.
- Selepas 9 Tahun: Pelanggan boleh terus menggunakan bateri selepas tempoh 108 bulan tamat tanpa sebarang bayaran sewa, selagi SOH bateri kekal di atas 70 peratus.
- Penyelenggaraan Bateri: Penyelenggaraan, insurans dan segala-galanya yang berkaitan dengan aset bateri berada di bawah tanggungjawab Perodua.
Pengeluaran besar-besaran QV-E telahpun bermula di Kemudahan Mobiliti Pintar Perodua di Sg Choh, dan pemasangan fungsi tertentu akan dilakukan di kilang Tan Chong Serendah yang terletak bersebelahan dengan Perodua.
Sasaran jualan awal untuk QV-E ialah 500 unit sebulan, tetapi Perodua menyasarkan 3,000 unit sebulan selepas suku keempat 2026.






























