
Jualan Xiaomi SU7 Ultra kurang memberangsangkan kebelakangan ini tidak seperti mana di awal pengenalan kereta sukan berkenaan.
Menurut data daripada platform seperti Dongchedi, angka jualan menjunam kepada hanya 45 unit pada Disember tahun lalu. Ini merupakan perbezaan yang amat ketara berbanding prestasi puncaknya pada Mac lalu dengan 3,101 unit telah terjual.
Dalam tempoh Mac hingga Ogos, jualan bulanan konsisten antara 2,000 hingga 3,000 unit. Namun, angka menurun drastik bermula September dengan hanya 488 unit terjual diikuti 130 unit (Oktober) dan di bawah bawah 100 unit (November).
Dilancarkan pada 27 Februari 2025 pada harga CNY 529,900 (RM299,609), jentera ini dilengkapi sistem tiga motor yang menghasilkan kuasa 1,548hp. Pecutan 0-100kmj dalam masa hanya 1.98 saat dengan kelajuan maksimum 350 kmj.
Kontroversi Jejas Jualan?

Walaupun jualan terkumpul SU7 Ultra telah melebihi 10,000 unit mencapai sasaran awal Lei Jun, majoriti jualan tersebut berlaku pada separuh pertama manakala hanya sekitar 3,000 unit terjual pada separuh tahun kedua.
Kemerosotan ini kemungkinan besar dipengaruhi oleh beberapa kontroversi yang melanda model tersebut selepas pelancarannya, termasuk isu iklan palsu, syarat bayaran pendahuluan yang membebankan pembeli, serta laporan pintu gagal dibuka selepas terlibat dalam kemalangan.
Model Lain Tetap ‘Laku Keras’
Berbeza dengan nasib SU7 Ultra, model-model lain Xiaomi Auto terus menunjukkan pertumbuhan yang sangat kukuh. Pada Disember 2025:
- Xiaomi SU7 (Standard): Mencatatkan jualan 11,123 unit.
- Xiaomi YU7: Mencapai jualan luar biasa melebihi 39,000 unit.
Pada 12 Januari 2026, Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA) mengumumkan Xiaomi Auto berjaya menduduki kedudukan 10 terbaik industri dengan keseluruhan jualan 411,837 unit sepanjang 2025, peningkatan sebanyak 200.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Untuk tahun ini, Lei Jun mendedahkan sasaran jualan lebih tinggi iaitu 550,000 unit. Memandangkan struktur produk semasa, permintaan pasaran masih didominasi oleh kenderaan keluarga.
Oleh itu, SU7 Ultra yang merupakan model niche dalam segmen prestasi tinggi, tidak memberi kesan besar kepada trajektori keseluruhan jualan Xiaomi Auto yang masih berada dalam momentum peningkatan yang kukuh.
REKOD JUALAN XIAOMI SU7 ULTRA
- Mac : 3,098 unit
- April : 2,283 unit
- Mei : 2,360 unit
- Jun : 2,234 unit
- Julai : 2,494 unit
- Ogos : 2,366 unit
- September : 488 unit
- Oktober : 130 unit
- November : 80 unit
- Disember : 45 unit





























