
Xiaomi memperkenalkan SkyNomad N90 Max, sebuah SUV andalan tujuh tempat duduk dengan rangkaian kuasa penambah jarak (range-extender).
Reka bentuk badannya ringkas dengan garisan yang menghasilkan bentuk luaran lebar dan tegap, selain ruang kabin yang besar.
Dari segi dimensi, SUV ini berukuran panjang 5,285mm, lebar 1,998mm dan jarak roda 3,080mm.
Selain N90 Max, Xiaomi turut memperkenalkan SkyNomad N90 Max Studio dengan bumbung boleh buka ke atas.
Ruang Untuk Kegunaan Perniagaan dan Keluarga
SkyNomad N90 Max menggunakan susun atur 2+2+3 dengan tujuh tempat duduk.
Bagi kegunaan perniagaan, tempat duduk hadapan dan baris kedua tampil dengan binaan zero-gravity.
Tempat duduk hadapan boleh dipilih dalam dua konfigurasi:
- Tempat duduk zero-gravity untuk pengalaman seperti kabin kelas pertama.
- Tempat duduk boleh dipusing bersama meja untuk mewujudkan ruang bersemuka bagi makan, berbincang atau bekerja.
Untuk kegunaan keluarga, SUV ini boleh memuatkan tujuh penumpang dan menariknya berupaya memuatkan tiga orang dewasa pada baris ketiga.
Ukuran ruang dalaman:
- Ruang kaki baris kedua: 950mm
- Lebar laluan tengah ke baris ketiga: 180mm
- Ruang kaki baris ketiga: 890mm
- Ruang kepala baris ketiga: 962mm
Pintu pula boleh dibuka hampir 90 darjah, manakala pemijak sisi elektrik membantu memudahkan penumpang masuk.
Dalam konfigurasi ruang kargo maksimum, ruang bagasi boleh membawa dua basikal jalan raya 700C bersama kelengkapan berbasikal tanpa perlu menanggalkan roda.
Sistem Kuasa Jarak Jauh
SkyNomad N90 Max menggunakan Xiaomi Kunlun Hyper Range System dengan sistem pacuan semua roda dua-motor.
Prestasi dan jarak pemanduan:
- Enjin 1.5T penambah jarak
- 0-100km/j: 5.9 saat
- Kelajuan maksimum: 190km/j
- Bateri Xiaomi Armor Scale Battery: 76kWj, jenis litium ternari
- Jarak EV CLTC: 464km
- Jarak gabungan: sehingga 1,705km
- Penggunaan bahan api WLTC dengan bateri nyahcas: serendah 6.26L/100km
Jarak gabungan itu membolehkan SUV ini dipandu dari Shanghai ke Beijing sejauh lebih 1,000km tanpa perlu mengecas semula.
Untuk sistem suspensi, SkyNomad N90 Max dilengkapi suspensi udara dan penyerap hentak dengan redaman berubah secara berterusan sebagai kelengkapan standard.
Suspensi hadapan menggunakan konfigurasi double-wishbone bebas dan pelbagai pautan bebas di belakang.
Sistem Keselamatan dan Teknologi
Bahagian dalaman SkyNomad N90 Max dilengkapi sejumlah skrin untuk pemandu dan penumpang, antaranya:
- Skrin kawalan tengah 16.1 inci 3K
- Paparan HUD 20 inci
- Paparan meter 8.88 inci
- Skrin hiburan belakang 21.4 inci
- Skrin kawalan mudah alih belakang
SUV ini turut dilengkapi LiDAR solid-state menghadap belakang dengan ketepatan jarak maksimum 2cm untuk membantu dalam situasi parkir yang lebih rumit.
Sistem keselamatan Xiaomi Kunlun Total Safety pula menggunakan struktur badan hibrid berbentuk rangka untuk perlindungan penumpang.
Ciri-ciri keselamatan:
- Keluli berkekuatan ultra tinggi 2,200MPa digunakan secara meluas.
- Sehingga 16 lokasi menggunakan keluli hot-stamped 2,200MPa.
- Struktur “rangka keselamatan terbenam” 2,200MPa.
- Bingkai pintu hot-stamped bersepadu 13-dalam-1 meliputi tiang A, B, C dan D serta ketiga-tiga baris tempat duduk.
- 12 beg udara sebagai kelengkapan standard.
- Hendal pintu tiga lapisan untuk keselamatan.
- Keupayaan meredah air sehingga 750mm.
- Kawalan kestabilan ketika tayar pecah pada kelajuan sehingga 160km/j.
Xiaomi SkyNomad N90 Max Studio
Selain N90 Max, Xiaomi turut memperkenalkan SkyNomad N90 Max Studio, yang dibangunkan berasaskan N90 Max dengan fokus kepada penggunaan sebagai ruang peribadi bergerak.
Antara ciri utama ialah bumbung kabin boleh diangkat secara elektrik.
Ketinggian bumbung boleh ditambah 100mm, dan apabila bumbung dinaikkan, ruang dalaman berubah menjadi ruang dua tingkat dengan ketinggian maksimum 2,294mm.
Ruang tingkat atas mempunyai ukuran 2,110mm × 985mm, dengan panjang papan katil maksimum 1,946mm.
Strukturnya menggunakan bingkai aluminium bersama panel sarang lebah aluminium dan mampu menampung beban sehingga 200kg.
Bahagian tingkat atas turut mempunyai:
- Lima jaring pada tiga sisi.
- Skrin menghadap hadapan yang boleh dibuka sepenuhnya.
- Luas tingkap sehingga 1.7m².
- Saluran pendingin hawa.
- Port pengecasan 18W.
- Sudut pemasangan magnet.
- Tilam keselesaan setebal 30mm.
Tempat Duduk Baris Kedua Jadi Katil Dalam 30 Saat
N90 Max Studio menggunakan konfigurasi lima tempat duduk yang direka semula, termasuk tempat duduk baris kedua yang boleh ditukar menjadi katil dengan satu sentuhan.
Proses itu mengambil masa sekitar 30 saat tanpa perlu membuka komponen atau menggunakan tilam tambahan.
Panjang ukuran katil ialah 1.87m dan lebar 1.24m.
Tempat duduk baris kedua menggunakan pembahagian 40/60, dengan kedua-dua bahagian boleh diubah secara berasingan menjadi katil.
Bahagian kiri boleh dijadikan katil individu, manakala meja dipasang pada rel di sebelah kanan untuk menghasilkan ruang duduk dan bekerja.
Tempat duduk itu turut dilengkapi fungsi pengudaraan dan pemanasan serta perehat kepala elektrik yang boleh dilipat dan disimpan secara automatik.
Ruang Dalaman Seperti Studio Bergerak
N90 Max Studio mempunyai lantai aloi aluminium bercorak kayu dari kilang dengan keluasan 1.7m².
Strukturnya menggunakan bingkai aloi aluminium berbilang lapisan dengan permukaan bercorak kayu.
Lantai direka untuk ketahanan dan telah melalui lebih 6,000 kitaran lelasan. Ia turut dilengkapi pemanas lantai terbina dalam dengan tiga tahap suhu sehingga 38°C.
Antara kelengkapan lain termasuk:
- Pendingin hawa pam haba.
- Stereng dengan fungsi pemanas.
- Tempat duduk dengan fungsi pemanas.
- Peti sejuk yang turut mempunyai fungsi pemanasan.
Untuk hiburan, N90 Max Studio menyokong sistem tayangan pawagam dengan skrin 30 inci.
Apabila baris kedua ditolak ke kedudukan paling belakang, jarak tontonan mencapai 1,096mm.
Mod “privacy screen” pula membolehkan skrin diturunkan tanpa tayangan untuk bertindak sebagai pembahagi kabin dan menghalang cahaya.
N90 Max Studio turut menawarkan beberapa kemudahan lain:
- Meja sisi terapung dengan soket 220V dan 15V.
- Kabinet terbina dalam dengan kapasiti keseluruhan 20 liter.
- Lampu individu bagi setiap ruang kabinet.
- Cermin solek 11.5 inci dengan sudut bukaan 115 darjah.
- Lampu 4,000K pada cermin solek.
Prestasi Sama Seperti N90 Max
N90 Max Studio berkongsi perkakasan utama dengan SkyNomad N90 Max, termasuk sistem pacuan semua roda dua-motor.
- 0-100km/j: 5.9 saat
- Bateri: 76kWj litium ternari Xiaomi Armor Scale Battery
- Jarak EV CLTC: 462km
- Jarak gabungan CLTC: 1,688km
Harga dan Pasaran
Harga Xiaomi SkyNomad N90 Max bermula RMB269,900 (RM163,802), manakala N90 Max Studio ditawarkan pada RMB299,900 (RM182,009).
Meskipun menarik dan berupaya menyaingi SUV lain di peringkat antarabangsa, kedua-dua model ini hanya tersedia di Tanah Besar China.
Xiaomi SkyNomad N90 Max 2027
Xiaomi SkyNomad N90 Max Studio 2027













































