Insiden Maut Xiaomi SU7: Bos Huawei dedah rahsia pintu empat lapisan Aito

96

Sebuah kenderaan elektrik (EV) baharu, Xiaomi SU7 Ultra, terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuh Raya Tianfu, Chengdu, China barat, baru-baru ini.

Insiden itu bertukar tragedi apabila EV tersebut terbakar dengan pantas dan pemandu terperangkap dalam kenderaan. 

Kejadian yang berlaku sekitar jam 3.16 pagi pada 13 Oktober itu dirakam saksi yang berada di lokasi kejadian lalu berkongsi di platform media sosial sehingga menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan EV dan protokol menyelamat.

Gagal Pecah Cermin, Api Marak Cepat

Rakaman video memaparkan suasana cemas yang mana beberapa pemandu yang melalui kawasan tersebut segera memberhentikan kenderaan untuk membantu.

Mereka dilihat bertungkus-lumus cuba memecahkan cermin sisi kereta menggunakan siku dan tapak kasut, namun gagal. 

Seorang individu kemudian cuba menggunakan pemadam api ke arah tempat duduk pemandu.

Bagaimanapun, api yang marak dengan pantas serta haba yang sangat tinggi menghalang orang ramai daripada menghampiri kenderaan tersebut untuk mengeluarkan mangsa.

Meskipun tiada pengesahan rasmi, sebilangan netizen membuat spekulasi bahawa pintu kenderaan mungkin terkunci secara automatik, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.

Huawei Dedah Sistem Kunci Pintu Empat Lapisan

Susulan kemalangan ngeri tersebut, seorang eksekutif tertinggi Huawei tampil berkongsi pandangan mengenai keutamaan keselamatan kenderaan, sekali gus menonjolkan ciri pada kereta yang dikuasakan oleh sistem mereka.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Yu Chengdong menerusi akaun media sosialnya menegaskan keselamatan adalah kemewahan yang terbesar.

“Kami sentiasa berusaha untuk mencapai piawaian kualiti dan keselamatan tertinggi,” ujarnya. 

Kenyataan Yu Chengdong merujuk kepada video yang pernah dimuat naiknya sebelum ini yang mempamerkan collision unlock redundancy module (CPM) dan sistem kunci pintu empat lapisan pada kenderaan yang dikuasakan oleh HarmonyOS, seperti Aito M8.

Yu menyatakan rekaan kunci pintu empat lapisan menunjukkan pentingnya akses darurat ketika situasi darurat.

Menurutnya, sistem berlapis itu dirancang agar pintu tetap dapat dibuka meski salah satu modul mengalami kerosakan.

Penyelidikan rasmi melibatkan pemeriksaan komponen elektrik, modul bateri, dan mekanisme kunci pintu untuk menilai apakah ada kegagalan teknik yang memburukkan lagi kesan kemalangan. 

Hasil pemeriksaan diharapkan memberikan gambaran lebih jelas mengenai sumbangan faktor manusia dan mekanisma  terhadap tragedi tersebut.

Komen Huawei itu dikeluarkan selepas polis trafik tempatan mengesahkan bahawa pemandu Xiaomi SU7 Ultra itu meninggal dunia dalam kemalangan yang turut melibatkan kandungan alkohol. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here