
Empat individu termasuk dua wanita diburu polis bagi membantu siasatan berkaitan kes pemerasan melibatkan sebuah keluarga di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, laporan kejadian dibuat seorang lelaki berusia 60 tahun yang mendakwa Toyota Unser yang dipandunya diekori dua kenderaan lain.
Katanya, berdasarkan laporan yang dibuat pada jam 1.23 petang hari yang sama itu, mangsa turut memaklumkan bahawa Proton X50 dan Honda WRV itu mengekori kenderaannya dari Terowong Menora ke R&R Tapah.
“Insiden tersebut dipercayai berpunca apabila mangsa memotong sebuah lori di laluan lebuh raya sebelum suspek yang menaiki Proton X50 dan Honda WRV meminta mangsa memberhentikan kenderaan di kawasan tempat letak lori di hentian berkenaan.
“Empat individu termasuk dua wanita yang menaiki kedua-dua kenderaan itu kemudian berjumpa dengan mangsa dan menuntut ganti rugi.
“Mangsa dan keluarganya menyerahkan wang tunai RM180 sebelum mereka meninggalkan lokasi tersebut,” katanya.
Menurut beliau, semakan mendapati kenderaan yang dinaiki kesemua suspek didaftarkan atas nama seorang wanita di Terengganu manakala sebuah lagi kereta pula didaftarkan atas nama sebuah syarikat di Johor.
“Maklumat ini akan digunakan bagi membantu siasatan untuk mengesan keempat-empat suspek. Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farid Harun di talian 018-2196436 atau pejabat di talian 05-4011222.
Terdahulu, tular video berdurasi enam minit 40 saat memaparkan situasi cemas dihadapi sebuah keluarga apabila mendakwa terdapat kenderaan menghalang laluan mereka.
Berdasarkan maklumat dikongsi, kejadian berlaku bermula di Terowong Menora sekitar jam 4 pagi pada Rabu.