
Chery mengadakan pratonton perdana bagi Omoda 4, sebuah crossover baharu yang dijangka bakal dilancarkan di pasaran China tidak lama lagi.
Namun berdasarkan maklumat tidak rasmi, ia mungkin dilancarkan pada tahun depan di China. Menariknya, model ini pernah dipertontonkan pada April lalu di China dengan nama Omoda 3, namun kali ini ia diperkenalkan semula dengan nama rasmi Omoda 4.
Selain itu, pada 20 Oktober ini, satu lagi versi lebih sporty akan diperkenalkan iaitu Omoda 4 Ultra, yang merupakan varian lebih agresif dengan elemen gaya tambahan.
Berdasarkan gambar yang dipertontonkan kepada media antarabangsa di Wuhu, China, jentera itu menampilkan beberapa aksesori sporty termasuk spoiler belakang lebih besar serta rekaan rim dua tona yang menaikkan lagi imej dinamiknya.
Disasarkan kepada golongan muda yang gemarkan gaya moden dan menyerlah, Omoda 4 diilhamkan daripada konsep “kapal bintang (starships)”, dengan garisan tajam dan sudut bersegi yang menjadikannya tampil berbeza. Sekali pandang, ia seolah-olah adik kepada Lamborghini Urus.
Bahagian hadapan dilengkapi lampu siang (DRL) yang nipis di atas lampu utama, manakala kedua-duanya disambungkan secara visual oleh panel hitam besar di tengah, bersama bukaan udara menegak di bawahnya.
Di bahagian belakang pula, lampu berbentuk “L” disambung oleh jalur LED merentasi pintu but, menampilkan gaya pencahayaan seakan “kilat” yang menjadi identiti tersendiri Omoda.
Masuk ke ruang dalaman, Omoda 4 menampilkan suasana yang pasti memikat golongan muda. Banyak bahagian diserlahkan dengan kemasan ala gentian karbon, terutamanya pada papan pintu dan konsol tengah.
Ia turut dilengkapi dengan paparan instrumen digital penuh, serta skrin tengah bersaiz besar untuk sistem infotainmen moden dengan sambungan pintar.
Menariknya, butang penghidup enjin dengan penutup merah di konsol tengah jelas mengambil inspirasi daripada Lamborghini, menambahkan sentuhan sporti pada keseluruhan kabin.
Ketika sesi pratonton global ini, Chery belum mendedahkan sebarang maklumat teknikal rasmi, namun terdapat lencana “225 T” di bahagian pintu but belakang. Ini berkemungkinan menunjukkan bahawa model terbabit menghasilkan sekitar 225 hp menerusi enjin turbo.
Buat masa ini, belum ada pengesahan rasmi sama ada Omoda 4 akan diperkenalkan di pasaran Malaysia.
Namun, melihat kepada gaya, teknologi dan karakter sporti yang ditawarkan, ia sememangnya berpotensi menarik minat golongan muda tempatan yang mencari kenderaan dengan penampilan moden dan berjiwa urban.
@motoqar Sekarang kami berada di pratonton global Omoda 4 di Wuhu, China. Untuk makluman, nama itu baru sahaja ditukar yang sebelum ini dikenali sebagai Omoda 3. Ia menerapkan konsep Cyber Mecha yang disasarkan kepada golongan muda yang mahu kenderaan yang bergaya. Model crossover itu, akan dilancarkan tahun depan di China dan berkemungkinan besar akan masuk pasaran Malaysia nanti. Jadi apa pandangan anda? #omoda #omoda4 @Erywan Norshal ♬ original sound – Motoqar Malaysia