
BYD Auto Industry Co Ltd memfailkan pelan panggil balik menerusi Regulasi Pasaran Pentadbiran Negeri China (SAMR) untuk menangani potensi isu keselamatan dalam dua siri kenderaan yang berbeza, melibatkan 115,783 unit.
Kempen panggil balik itu berikutan siasatan kecacatan oleh SAMR, bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu bermula daripada kerosakan pengawal motor pemacu hingga kepada kekurangan kedap bateri kuasa.
Panggilan Balik Pertama: Siri Tang (44,535 Unit)
Kempen panggil balik melibatkan model Tang melibatkan 44,535 unit kenderaan yang dikeluarkan antara 28 Mac 2015, dan 28 Julai 2017.
Isu ini berpunca daripada masalah reka bentuk dan pemilihan komponen dalam pengawal motor pemacu, yang boleh menyebabkan fungsi nyahcas aktif yang tidak normal semasa penggunaan.
Ia juga berisiko mengakibatkan litar papan terbakar dan kegagalan mod pemacu elektrik tulen kenderaan.
Pengedar sah BYD akan mengemas kini perisian untuk kenderaan yang terjejas, menukar kaedah nyahcas kepada nyahcas motor.
Panggilan Balik Kedua: Yuan Pro (71,248 Unit)
Model kedua melibatkan 71,248 unit kenderaan elektrik Yuan Pro keluaran 6 Februari 2021, hingga 5 Ogos 2022.
Pihak pengeluar mengenalpasti kecacatan pembuatan yang mana gasket kedap bateri kuasa mungkin dipasang secara tidak betul, menyebabkan prestasi kedap berkurangan.
Sekiranya pemandu meredah air pada kelajuan tinggi boleh mengakibatkan air masuk ke dalam bateri kuasa, menjejaskan komponen penebat.
Dalam senario ekstrem, ia boleh menyebabkan pengurangan dalam output bateri kuasa, yang berisiko membahayakan keselamatan.
Untuk menyelesaikan masalah ini, pengedar sah BYD akan menggunakan pelekat khas untuk mengukuhkan selongsong bateri kuasa kenderaan yang terjejas, memulihkan fungsi kalis air dan menghapuskan risiko keselamatan.