
Tesla mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dengan pembukaan pusat pengalaman baharu di Mid Valley Southkey, Johor Bahru, sekali gus menandakan penghantaran rasmi Model Y L kepada pelanggan tempatan.
Pusat pengalaman Tesla seluas kira-kira 3,300 kaki persegi itu terletak di aras G-019, South, Mid Valley Southkey dan menjadi lokasi terbaharu jenama kenderaan elektrik berkenaan di selatan tanah air.
Kedudukan yang strategik memudahkan pelanggan dari Malaysia dan Singapura mendapatkan akses kepada produk serta perkhidmatan Tesla.

Antara model dipamerkan di situ adalah Model 3, Model Y dan Model Y L yang juga varian SUV enam tempat duduk terbaharu Tesla.
Bagi melengkapkan pengalaman pemilikan, Tesla mengendalikan empat unit pengecas Supercharger di kawasan Ground External, North, Mid Valley Southkey berhampiran St Giles Hotel.

Kemudahan itu membolehkan pengguna menikmati pengalaman pengecasan lebih mudah dan pantas.
Tesla turut memaklumkan semua Model 3, Model Y dan Model Y L yang didaftarkan di Malaysia, Singapura dan Thailand kini menerima perlindungan servis rentas negara di rantau ini.



Pemilik boleh menggunakan rangkaian pusat servis Tesla termasuk sembilan pusat servis dan Service Express serta 12 bengkel badan kenderaan yang diluluskan di ketiga-tiga negara.
Menerusi langganan Premium Connectivity pula, pengguna boleh menikmati pelbagai ciri digital termasuk sistem navigasi trafik langsung, pelayar internet, penstriman video dan muzik serta integrasi kecerdasan buatan seperti Grok ketika memandu merentasi sempadan negara.

Pengarah Kanan Tesla, Isabel Fan berkata, syarikat itu akan terus melabur dalam pembangunan ekosistem kenderaan elektrik di Malaysia bagi memastikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan menyeluruh kepada pelanggan di rantau ini.
Sehingga awal 2026, Tesla mengendalikan 19 stesen Supercharging dengan 84 unit pengecas Supercharger serta 17 lokasi Destination Charging yang menawarkan 73 pengecas di seluruh Malaysia.
Tesla turut merancang untuk memperluaskan rangkaian pengecasannya ke beberapa lokasi baharu di Lembah Klang, Pulau Pinang, Perak dan Malaysia Timur dalam sedikit masa lagi.
































