
Tesla Malaysia secara rasmi membuka stesen pengecas pantas V4 Supercharging terbaharunya di AEON Mall Kinta City, sekali gus melengkapkan rangkaian pengecasan yang menghubungkan perjalanan rentas sempadan antara Singapura, Malaysia dan Thailand.
Stesen yang terletak di tengah bandar raya Ipoh itu merupakan kemudahan Supercharging pertama Tesla di Malaysia yang menggunakan sambungan internet Starlink.
Menurut Tesla, pembukaan stesen ini dianggap sebagai komponen terakhir yang diperlukan bagi membolehkan pemilik kenderaan Tesla melakukan perjalanan jarak jauh merentasi tiga negara dengan lebih lancar.

Lokasi itu dipilih berdasarkan undian tertinggi daripada komuniti pemilik Tesla di negara ini.
“Melalui model perniagaan langsung yang kami amalkan, Tesla sentiasa memberi perhatian kepada keperluan pelanggan.
“Ini termasuk menyediakan pengalaman pemilikan menyeluruh, merangkumi jualan, perkhidmatan selepas jualan dan infrastruktur pengecasan,” menurut kenyataan syarikat itu.
Selain melengkapkan laluan pengecasan, Tesla turut menawarkan jaminan, akses perkhidmatan dan sambungan digital merentas negara bagi memberi keyakinan lebih tinggi kepada pengguna yang kerap melakukan perjalanan ke luar negara.

Pengecas V4 Supercharger mampu menyalurkan kuasa sehingga 250kW. Ia membolehkan model Tesla Model 3 dan Model Y menambah jarak perjalanan sehingga kira-kira 311 kilometer dalam masa 15 minit sahaja.
Buat masa ini Tesla mengendalikan :
- 21 lokasi Supercharging dengan 92 unit pengecas
- 18 lokasi Destination Charging dengan 78 unit pengecas di seluruh Malaysia
Setiap kenderaan Tesla di Malaysia kini dilengkapi pembantu kecerdasan buatan Grok sebagai ciri standard.
Sistem itu membolehkan pengguna mengawal pelbagai fungsi kenderaan termasuk navigasi, kawalan suhu kabin, hiburan, peringatan dan carian lokasi menerusi arahan suara.
Di pasaran tempatan, Tesla menawarkan dua model utama iaitu Model 3 dan Model Y.
Sempena promosi masa terhad, pelanggan baharu turut menerima kredit pengecasan Supercharging sejauh 3,000 kilometer.
Harga bermula
- Model 3 – RM149,000
- Model Y – RM198,000
Bagi pembeli Model Y Premium RWD, Tesla menawarkan pilihan sama ada rebat tukar beli bernilai RM13,000 atau program pembiayaan kadar faedah tetap serendah 0.88 peratus.

Dalam perkembangan sama, Model Y kini disenaraikan secara rasmi dalam program rujukan pelanggan Tesla.
Pemilik sedia ada boleh berkongsi pautan rujukan peribadi untuk memperoleh ganjaran seperti kredit pengecasan Supercharging dan naik taraf perisian apabila pembelian yang layak dilakukan.
Sebagai insentif tambahan :
- 10 pelanggan pertama yang membeli Model 3 atau Model Y menggunakan pautan rujukan akan menerima diskaun RM1,000
- Pemilik Tesla yang berjaya membuat rujukan pula akan memperoleh kredit Tesla bernilai RM500 bagi setiap transaksi yang berjaya
































