Utama Berita Automotif MCE Holdings peroleh kontrak RM54.28 juta daripada Perodua

MCE Holdings peroleh kontrak RM54.28 juta daripada Perodua

2

MCE Holdings Berhad (MCE) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Multi-Code Electronics Industries (M) Berhad, memperoleh kontrak bekalan bernilai RM54.28 juta daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bagi tempoh 40 bulan.

Kontrak tersebut meliputi pembekalan pelbagai komponen elektronik dan mekatronik automotif, termasuk paparan audio kenderaan, kamera undur serta komponen berkaitan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) untuk sebuah model Perodua berenjin pembakaran dalaman (ICE).

Menurut MCE, projek ini menjadi pencapaian penting kerana ia adalah projek pertama syarikat untuk membekalkan paparan audio kenderaan dan komponen berkaitan ADAS bagi model ICE.

Sebelum ini, MCE hanya terlibat dalam pembangunan sistem infotainmen untuk kenderaan elektrik (EV).

Pengeluaran komponen dijangka bermula pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027.

Operasi pengeluaran akan dijalankan di MCE Auto Hub, Serendah, Selangor.

MCE menganggarkan jumlah pelaburan bagi projek itu sekitar RM4.95 juta.

Pelaburan tersebut dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran serta penggunaan kemudahan baharu di hab berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Datuk Wira Dr Goh Kar Chun berkata, hubungan jangka panjang bersama Perodua membuka ruang kepada syarikat untuk terus berkembang.

“Hubungan jangka panjang kami dengan Perodua memberi peluang kepada MCE untuk berkembang bersama mereka.

“Ini membolehkan kami secara berperingkat mengambil tanggungjawab terhadap produk yang lebih canggih, membina keupayaan reka bentuk dan pembuatan serta meningkatkan kedudukan kami dalam rantaian nilai automotif,” katanya.

Beliau menambah, kontrak terbaharu itu turut memperluaskan rangkaian produk yang dibekalkan MCE selari dengan peningkatan pengeluaran dan penggunaan kapasiti di MCE Auto Hub.

MCE turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Perodua dalam memperluaskan pelokalan komponen elektronik dan sistem automotif.

Langkah itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan ekosistem automotif Malaysia yang lebih kompetitif serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab serantau bagi kenderaan generasi baharu.

MCE merupakan pembekal automotif Tier-1 dari Malaysia yang mengkhusus dalam bidang kejuruteraan, reka bentuk serta pembuatan komponen elektronik dan mekatronik automotif.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here