
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Bank Rakyat menjalinkan kerjasama menerusi pelancaran Kad Kredit-i Perodua-Bank Rakyat yang menawarkan pelbagai manfaat khusus bagi perbelanjaan berkaitan automotif.
Kerjasama itu dilihat sebagai usaha syarikat terbabit dalam memperkukuh ekosistem automotif negara, selain menyediakan kemudahan kewangan patuh syariah lebih relevan kepada pemilik kenderaan.
Menerusi kad berkenaan, pemegangnya boleh menikmati lima kali ganda mata ganjaran bagi perbelanjaan bahan api, pengecasan kenderaan elektrik, penyelenggaraan kenderaan serta pembelian perlindungan takaful.
Mata ganjaran dikumpulkan boleh dipindahkan dan ditebus menerusi aplikasi P-Circle Perodua, sekali gus memberikan pilihan tambahan kepada pelanggan untuk mendapatkan manfaat daripada perbelanjaan automotif harian.
Kad Kredit-i itu turut menawarkan sifar peratus yuran transaksi di luar negara dan tiada yuran tahunan kepada pemegang kad.
Daripada aspek perlindungan, pemegang kad menerima perlindungan takaful percuma bagi jumlah baki tunggakan maksimum RM300,000 sehingga umur 70 tahun, selain manfaat khairat kematian sebanyak RM1,000.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pelancaran itu adalah kali pertama Perodua bekerjasama dengan institusi perbankan bagi pengeluaran Kad Kredit-i.
“Kami juga akan menjalankan kempen khas untuk menarik pelanggan kami mendapatkan Kad Kredit-i ini menerusi tawaran-tawaran eksklusif pakej Perodua,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan pendekatan Bank Rakyat dalam membina ekosistem yang memberikan nilai dan ganjaran lebih menyeluruh kepada pelanggan.
“Kerjasama strategik bersama Perodua ini mencerminkan pendekatan Bank Rakyat dalam membina ekosistem yang dapat memberikan nilai dan ganjaran lebih menyeluruh kepada pelanggan melalui gabungan kekuatan perbankan Islam dan industri automotif,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut selaras dengan aspirasi Untuk Semua Bank Rakyat dalam memperluas akses kepada penyelesaian kewangan yang inklusif, relevan dan patuh syariah kepada masyarakat.
Kad Kredit-i Perodua-Bank Rakyat turut hadir dengan dua rekaan eksklusif yang diinspirasikan daripada Perodua QV-E serta karakter TIRA daripada filem animasi yang ditayangkan menerusi aplikasi P-Circle Perodua.































