Utama Berita Automotif Tular tahan pelarian Myanmar, JPJ nasihat jangan ambil tindakan sendiri

Tular tahan pelarian Myanmar, JPJ nasihat jangan ambil tindakan sendiri

7

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri susulan video tular di laman sosial menunjukkan sekumpulan lelaki menahan seorang pelarian Myanmar.

​Pengarahnya, Zamri Samion berkata tindakan individu atau pihak yang tidak mempunyai kuasa menahan individu lain adalah dilarang kerana ia boleh mencetuskan implikasi perundangan kepada diri sendiri jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

​”Untuk kes Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) ini, kita konsisten menjalankan penguatkuasaan tapi untuk orang awam, saya nasihatkan bagi mereka yang bukan dalam konteks agensi yang tidak ada punca kuasa, mereka tidak boleh mengambil tindakan sesuka hati.

“Ini akan beri impak perundangan kepada mereka semua dan mereka perlu ambil maklum,” katanya.

Sebelum ini tular video berdurasi satu minit empat saat memaparkan sekumpulan lelaki menahan seorang pelarian Myanmar dan telah merampas kunci keretanya yang mana kejadian didakwa berlaku di Kuala Terengganu. 

Mengulas lanjut, Zamri berkata, ​walaupun wujud rasa prihatin dan sikap cakna dalam kalangan masyarakat terhadap isu keselamatan serta pematuhan undang-undang, usaha membanteras kesalahan sedemikian harus diserahkan sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa yang berautoriti.

“Sekiranya ada isu-isu yang dilihat memang melanggar undang-undang, boleh maklum kepada jabatan, boleh hubungi jabatan. Biar pihak jabatan, khususnya JPJ yang ambil tindakan, khususnya bagi kes-kes PeWA dan sebagainya ini,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menghentikan tindakan melulu dan sebaliknya menggunakan saluran betul dengan merakam bukti serta membuat aduan rasmi sekiranya mengesan sebarang kesalahan.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here