Utama Berita Automotif PROTON perkenal Proton Capital, bantu mudah proses milik kenderaan

PROTON perkenal Proton Capital, bantu mudah proses milik kenderaan

6

Proton Holdings Bhd (PROTON) melancarkan Proton Capital Sdn Bhd, cabang pembiayaan automotif khusus yang ditubuhkan bagi memudahkan proses pemilikan kenderaan untuk pelanggan yang layak.

Proton Capital menawarkan pilihan tambahan dengan memberi tumpuan khusus kepada kenderaan Proton, selain bekerjasama rapat dengan rangkaian pengedar sah syarikat.

Syarikat itu menyasarkan pengalaman pembiayaan lebih bersepadu dan cekap kepada pelanggan, bermula daripada proses permohonan sehingga penyerahan kenderaan, tanpa bersaing dengan institusi kewangan sedia ada.

Majlis pelancaran Proton Capital turut menghimpunkan Ahli Lembaga Pengarah Proton Capital, pengurusan PROTON dan Geely Financial Services, pengedar serta rakan niaga, selain menyaksikan pengiktirafan rasmi terhadap 10 kumpulan pengedar yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Untuk permulaan, Proton Capital memberi perkhidmatan kepada pelanggan individu yang layak bagi pembelian kenderaan Proton baharu melalui 12 cawangan pengedar yang mengambil bahagian di Lembah Klang.

Pemohon terdiri daripada pekerja bergaji, individu bekerja sendiri serta pelanggan yang mempunyai sumber pendapatan lain yang boleh disahkan.

Pengerusi Proton Capital, Zhang Qiang berkata, penubuhan syarikat itu menambah satu keupayaan penting kepada model perniagaan PROTON, terutama dalam aspek pembiayaan yang memainkan peranan besar dalam proses pembelian kenderaan.

“Dengan memiliki syarikat pembiayaan khusus, kami dapat bekerjasama dengan lebih rapat bersama para pengedar serta bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap keperluan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelanggan boleh mengemukakan permohonan melalui cawangan pengedar PROTON yang sah dan mengambil bahagian, dengan setiap permohonan dinilai berdasarkan pendapatan, komitmen kewangan sedia ada, maklumat kredit serta kemampuan pembayaran balik.

Semua kelulusan tertakluk kepada polisi kredit semasa syarikat, dokumen diperlukan serta terma dan syarat yang berkuat kuasa.

Bagi permohonan lengkap dan mudah, Proton Capital menyasarkan keputusan awal diberikan dalam tempoh satu hari bekerja, manakala permohonan yang memerlukan dokumen tambahan, pengesahan atau penilaian kredit lanjut mungkin mengambil masa lebih panjang.

Pada peringkat pelancaran, Proton Capital menawarkan pembiayaan sewa beli konvensional bagi kenderaan Proton baharu, termasuk pakej kadar tetap standard serta pakej khusus untuk teksi Proton S70.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Capital, Song Tao berkata, syarikat merancang memperkenalkan lebih banyak produk secara berperingkat, termasuk pembiayaan khusus pelanggan e-hailing.

Pilihan pembiayaan patuh Shariah disasarkan diperkenalkan pada awal November, tertakluk kepada ketersediaan produk serta terma dan syarat berkaitan.

Tiada fi permohonan dikenakan bagi permohonan pembiayaan, manakala sebarang duti setem, caj berkanun, premium insurans atau takaful, caj pendaftaran serta fi berkaitan akan dinyatakan dalam helaian pendedahan produk sebelum perjanjian pembiayaan ditandatangani.

Proton Capital juga berhasrat memperluaskan perkhidmatannya secara berperingkat ke seluruh rangkaian pengedar PROTON.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here