
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) terus memperkukuh peranan sebagai peneraju teknologi automotif negara apabila menjalinkan kerjasama strategik bersama Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) menerusi penubuhan Academia Centre of Excellence (EV-MIACE).
Kerjasama itu menjadikan Kolej Keda sebagai institusi latihan pertama di Kedah yang menawarkan pembelajaran teknologi motosikal elektrik.
Ia sekali gus membuka lembaran baharu dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, EV-MIACE diterajui Modenas berfungsi sebagai pusat rujukan kecemerlangan teknologi motosikal elektrik dengan tumpuan kepada tiga teras utama iaitu penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri.
“Kerjasama ini meletakkan Modenas di barisan hadapan dalam memacu evolusi teknologi automotif negara, manakala Kolej Keda menjadi hab penting melahirkan tenaga mahir yang selaras dengan keperluan semasa industri,” katanya pada Majlis Pelancaran EV-MIACE dan Graduasi Kali Ke-13 Kolej Keda di Alor Setar, Kedah.
Menurutnya, fasa pertama pelaksanaan melibatkan pengambilan 25 pelajar baharu pada Julai lalu, membuktikan kesungguhan Modenas dan Kolej Keda dalam memperkukuh TVET seiring perkembangan teknologi hijau dan Revolusi Industri 4.0.
“Modenas bukan sekadar membekalkan teknologi, malah turut memperkukuh keupayaan tenaga pengajar dan pelajar melalui pendedahan kepada teknologi terkini motosikal elektrik yang semakin mendapat tempat dalam transformasi industri automotif negara,” ujarnya.

Rubiah berkata, Modenas turut merancang untuk memperluaskan peranan EV-MIACE kepada komuniti melalui kursus jangka pendek kepada orang awam yang berminat meningkatkan kemahiran dalam penyelenggaraan dan teknologi motosikal elektrik.
Langkah itu dijangka menyokong pembelajaran sepanjang hayat serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri automotif elektrik yang berkembang pesat.
Pada majlis sama, seramai 482 graduan Kolej Keda sesi Disember 2024 hingga Jun lalu diraikan, membabitkan 367 graduan TVET dan 115 graduan Tahfiz TVET.
































