Utama Berita Automotif Setia Awan Land labur RM1.4 bilion, bangun Ionera Tanjong Malim

Setia Awan Land labur RM1.4 bilion, bangun Ionera Tanjong Malim

5

Setia Awan Land Sdn Bhd (Setia Awan) melancarkan Tanjong Malim Hi-Tech Park, pembangunan industri pertamanya bersama Ionera, komponen komersial projek itu.

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menandakan kemasukan Setia Awan ke segmen industri selepas lebih tiga dekad membangunkan projek kediaman dan pembangunan bercampur.

Projek 447 ekar itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion dan terletak berhampiran Proton City dalam koridor Automotive High-Tech Valley. 

Pengarah Setia Awan, Datuk Marcus Doh berkata, syarikat melihat potensi Tanjong Malim jauh melangkaui anggaran GDV berkenaan.

“Anggaran RM1.4 bilion ini sebenarnya antara yang minimum. Jadi saya memang nampak potensi Tanjong Malim ini pasti lebih daripada itu,” katanya selepas majlis pelancaran projek itu.

Fasa 1 seluas 104 ekar menawarkan tanah industri siap infrastruktur bermula lima ekar, dengan pilihan jualan dan sewa.

Fasa itu mencatat kadar pengambilan 50 peratus, dengan pelabur yang disahkan termasuk Ningbo Fresh Technology Co Ltd dan Sheentech Automotive Systems Sdn Bhd.

Doh berkata, pembangunan semasa merangkumi unit kedai bernilai hampir RM200 juta serta kilang berkembar (semi-D) antara RM300 juta hingga RM400 juta, selain beberapa fasa akan datang.

Menurutnya, syarikat turut meneliti pembinaan gudang logistik berkeluasan 100,000 hingga 200,000 kaki persegi yang disesuaikan mengikut keperluan pelabur.

“Tidak semua orang akan membeli, jadi kami perlu menyesuaikan pembangunan mengikut keperluan pelabur yang mahu masuk,” katanya.

Dari sudut pekerjaan, dia berkata Proton City kini mempunyai antara 7,000 hingga 8,000 pekerja susulan pemindahan operasi PROTON dari Shah Alam dan kemasukan Ningbo dan Sheentech dijangka menambah sekitar 600 pekerja lagi, dengan jangkaan jumlah pekerja di kawasan itu meningkat kepada 10,000 hingga 15,000 orang dalam beberapa tahun akan datang.

“Dengan pengembangan Proton City, kami akan bergerak secara agresif ke China sekali lagi untuk menarik pembekal dan vendor membuka kilang di sini,” katanya.

Ionera seluas 27 ekar dengan 168 unit pula mencatat lebih 100 pendaftaran dan tempahan.

Bilion Group menjadi penyewa utama menerusi memorandum persefahaman (MoU) pada 17 September lalu, manakala beberapa penyewa dalam sektor perkhidmatan, makanan dan minuman serta penjagaan kesihatan turut memeterai MoU pada 21 September. 

Menerusi kerjasama dengan penyedia pengecas kenderaan elektrik (EV), projek itu juga dijangka menyediakan infrastruktur pengecas EV berkapasiti gabungan lima megawatt.

Doh berkata, berkata pembangunan itu mencerminkan visi syarikat untuk melangkaui penyediaan tanah industri semata-mata.

“Visi kami adalah membina ekosistem industri yang menyokong perniagaan dalam jangka panjang, dengan infrastruktur, kemudahan komersial dan perkhidmatan sokongan diperlukan untuk mereka bertapak, beroperasi dan berkembang,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here