Utama Berita Automotif Tempahan Honda City versi facelift 2026 kini dibuka

Tempahan Honda City versi facelift 2026 kini dibuka

1

Honda Malaysia hari ini secara rasminya membuka tempahan untuk model Honda City facelift 2026 yang menampilkan reka bentuk hadapan lebih berani, penampilan urban lebih sporty serta beberapa peningkatan dari segi teknologi, kemudahan dan keyakinan pemanduan.

Pelanggan yang membuat tempahan dari 27 Ogos hingga 30 September 2026 akan menerima Ganjaran Early Bird RM3,000 tertakluk kepada terma dan syarat.

Sebagai sedan segmen-B yang menemani pelanggan dalam pelbagai fasa kehidupan, City facelift 2026 dibangunkan dengan pendekatan lebih moden untuk memenuhi keperluan generasi baharu pengguna urban.

Antara perubahan utama varian City facelift 2026 :

  • sistem paparan audio baharu bersaiz 10 inci dengan lampu suasana (ambient light)menawarkan paparan lebih besar serta antara muka yang lebih intuitif
  • Sistem Kamera Pelbagai Pandangan (kamera pandangan 360 darjah) yang memberikan pandangan lebih menyeluruh di sekeliling kenderaan, terutama ketika parkir atau bergerak di ruang bandar yang sempit
  • Informasi Titik Buta dengan Sistem Pemantau Lintasan Trafik, yang memberi amaran kepada pemandu sekiranya terdapat kenderaan di kawasan titik buta ketika menukar lorong

Dari segi penampilan, City facelift 2026 menerima reka bentuk lampu hadapan bersepadu baharu dengan jalur lampu penuh merentasi bahagian hadapan, menghasilkan identiti visual yang lebih tersendiri.

Rekaan muka hadapan turut direka semula bagi menonjolkan karakter urban yang lebih dinamik. Buat pertama kali pada City, bahagian hadapan turut menampilkan air curtain yang membantu memberikan rupa lebih lebar dan agresif.

Bahagian belakang menerima kemasan sporty baharu tanpa menghilangkan siluet City sedia ada. Untuk varian RS, penampilan diperkemaskan lagi dengan rim aloi dilarik (milled) bersazi 16 inci baharu dalam kemasan dwi tona Berlina Black dan Dark Clear.

Honda Malaysia masih menawarkan pilihan rangkaian kuasa petrol dan hibrid untuk model City facelift 2026.

Varian 1.5L e:HEV menggunakan transmisi e-CVT, dengan motor elektrik yang menjana 109 PS dan 253 Nm daya kilas.

Sistem tersebut menggabungkan mod pemanduan EV, Hybrid dan Engine bagi mengimbangi prestasi responsif dengan kecekapan bahan api, sama ada ketika meredah trafik bandar atau perjalanan jauh di lebuh raya.

Sementara itu, enjin 1.5L DOHC i-VTEC dengan transmisi CVT menghasilkan 121 PS dan 145 Nm daya kilas, menawarkan pecutan yang lancar dan responsif untuk kegunaan harian.

Honda SENSING terus ditawarkan sebagai kelengkapan standard bagi semua varian City facelift 2026 yang merangkumi :

  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Mitigasi Keluar Jalan (RDM)
  • Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS)
  • Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW)
  • Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS)
  • Suluhan Lampu Tinggi Automatik (AHB)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Ikut Kelajuan Rendah (LSF)
  • Notifikasi Pergerakan Kenderaan Di Hadapan (LCDN)

Sempena sambutan Hari Merdeka, Honda Malaysia turut akan menyediakan New City Pop-up Store di lokasi terpilih menerusi kempen One Nation, Shared Rewards. 

Butiran lokasi akan dikemas kini menerusi laman rasmi Honda Malaysia.

Tempahan City facelift 2026 kini dibuka secara dalam talian menerusi laman sesawang https://prebook.honda.com.my/ serta di semua pengedar sah Honda di seluruh negara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here